Pelumba basikal trek negara, Dato’ Azizulhasni Awang bukan sahaja membanggakan rakyat Malaysia dengan membawa pulang pingat perak pada temasya Sukan Olimpik 2020 dalam acara keirin lelaki, malahan turut mencuri perhatian para penonton di Velodrom Izu, Tokyo ketika acara akhir pada hari terakhir yang berlangsung pada jam 11.00 pagi waktu tempatan.
Aksi Azizulhasni ketika berusaha keras mengejar emas di belakang pelumba legenda dari Great Britain, Jason Kenny yang berada jauh di hadapan amat mengagumkan para penonton di velodrom itu yang memberinya tepukan gemuruh.
Sejurus tamat perlumbaan, Azizulhasni terus mencuri hati para penonton dan petugas media apabila beliau dilihat berlari anak menuju ke arah penonton Jepun yang memberi sokongan semangat kepadanya untuk memberi sesuatu dalam bungkusan sebagai cenderamata.
Sambil tersenyum manis, beliau mengagihkan cenderamata kecil itu kepada beberapa orang penonton yang bertuah, sebagai tanda terima kasih kepada mereka yang telah bersorak dan bertepuk tangan tanda memberi semangat kepadanya.
Aksi ‘The Pocket Rocketman’ ini telah berjaya dirakam oleh seorang penonton Jepun, Kanematsu Yamato@Changingman_TGR sebelum video tersebut telah dimuat naik di laman Twitter dan mula tular.
Dalam video berdurasi 45 saat tersebut, Azizulhasni turut dilihat beberapa kali menundukkan kepalanya kepada para penonton dan mengucapkan ‘Arigato’ atau terima kasih dalam bahasa Jepun sebagai tanda penghargaan dan menzahirkan rasa hormat kepada mereka.
Beberapa kali juga Azizulhasni dilihat melambai tangan ke arah penonton dan peminatnya yang bertepuk tangan sambil bersorak sebelum diiringi pengurusnya memasuki pit.
Dato’ Azizulhasni Awang merupakan pelumba tunggal yang mewakili Asia dalam perlumbaan akhir merebut pingat Olimpik edisi kali ini yang kesemuanya didominasi oleh pelumba dari Eropah.
Pingat emas Olimpik acara keirin lelaki dipertahankan untuk kali ketujuh oleh Jason Kenny manakala pingat gangsa dimenangi oleh juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen.
Tonton video di bawah.