Seorang guru yang baik dan terpuji dalam mendidik anak bangsa akan sentiasa diingati oleh para pelajarnya sehingga akhir hayat.
Baru-baru ini tular satu rakaman video yang mengundang suasana sebak di hati apabila seorang murid lelaki dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Marang, Marang, Terengganu tidak dapat menahan kesedihan di majlis perpisahan Guru Besar, Cikgu Zakaria Omar.
Murid lelaki itu yang difahamkan seorang anak yatim mula berasa sebak dan sayu apabila merapati Cikgu Zakaria untuk bersalam dengannya.
Di tangan murid Tahun Enam itu kelihatan sebungkus buah mangga untuk dihadiahkan kepada Guru Besar kesayangannya yang bakal bersara.
Menerusi video tular yang dimuat naik Zamri Mat KL, murid Tahun Enam itu sempat memeluk Cikgu Zakaria semasa sesi bersalam sambil kedua-duanya spontan mengeluarkan air mata.
“Juraian air mata menjadi saksi kasih guru besar dan perasaan sayang daripada anak-anak SK Seberang Marang yang dipupuk sepanjang enam tahun perkhidmatan mengiringi hari perpisahan di dewan yang mulia D’Sbrang pada tanggal 7 Ogos 2024,” kongsinya.
Saling berpelukan, Cikgu Zakaria dilihat meluangkan masa lebih lama kepada murid anak yatim itu.
Lebih menyentuh hati, pelajar berkenaan sempat memberikan hadiah yang cukup sederhana tetapi bermakna kepada guru kesayangannya itu.
“Kasih seorang anak yatim memberikan hadiah seadanya, beberapa biji buah mempelam sebagai hadiah kerana dia tahu itulah buah kegemaran mantan guru besar yang disayangi,” kongsi Zamri.
Tonton video di sini.