Atlet bina badan berusia 28 tahun dari Miri, Suharwardi Dahlan, meninggal dunia akibat komplikasi jantung sehari selepas bertanding dalam sebuah acara.
Menurut Sin Chew Daily, Suharwardi dikejarkan ke Hospital Miri untuk rawatan kecemasan tetapi disahkan meninggal dunia pada jam 3 pagi Isnin, 24 Jun.
Atlet bina badan muda itu difahamkan baru pulang ke rumahnya di Kampung Pujut Tanjung Batu, Miri, selepas bertanding dalam Kejohanan Bina Badan Mr Sarawak ke-58 di Sibu, yang berakhir pada hujung minggu lalu.
Suharwardi memenangi tempat keempat dalam kategorinya dan menyumbang kepada catatan mata penamat terbaik pasukan Miri dalam acara itu.
Bulan lalu, pegawai polis bantuan itu memenangi kejohanan bina badan di Miri, yang melayakkannya mewakili Miri pada Kejohanan Bina Badan Mr Sarawak ke-58.
Suharwardi dilaporkan mula mengalami ketidakselesaan ketika tidur pada malam Isnin.
Ahli keluarga bergegas membawanya ke hospital tetapi Allahyarham disahkan meninggal dunia ketika berada di jabatan kecemasan, lapor China Press.
Persatuan Bina Badan Bahagian Miri mengesahkan pemergian Suharwardi dalam satu hantaran di Facebook pada 24 Jun.
Menurut persatuan berkenaan, Miri kehilangan seorang atlet yang mempunyai masa depan cerah dalam sukan bina badan.
Kematian mengejut Allahyarham Suharwardi amat mendukacitakan terutama buat warga bina badan di Sarawak, dengan ramai mengucapkan takziah kepada ahli keluarganya.
Al-Fatihah dan salam takziah buat keluarga Allahyarham.