CHINA: Sebuah taman permainan udara China cetus kebimbangan keselamatan kerana pengunjung langsung tidak dibekalkan dengan alat keselamatan.

Taman permainan ini dibina di sebuah tapak pelancongan di China timur dengan menggunakan sebuah jaring besar.
Jaring besar itu tergantung pada ketinggian 200 meter dari tanah yang dihubungkan melalui dua buah cenuram yang ditengahnya terdapat kolam.
Difahamkan jaring berkeluasan 1,500 meter persegi tersebut dibuat daripada bahan polietilena berketumpatan tinggi.

Pengusaha taman permainan ini menggunakan dua lapis jaring besar berkenaan sebagai satu langkah keselamatan.
Kanak-kanak, orang dewasa, remaja mahupun warga emas dibenarkan untuk bermain di situ.
Mereka bebas melakukan aktiviti seperti bermain dengan bola yang dibekalkan oleh pengusaha. Mereka juga boleh menikmati pemandangan indah secara santai.

Taman permainan berkenaan boleh memuatkan 50 orang dalam satu masa dengan maksimum berat badan 90 kilogram bagi seorang pengunjung.
“Bagi pengunjung dewasa, bersantai di atas jaring ini boleh membawa mereka mengenang kembali zaman kanak-kanak mereka.”
“Walaupun anda tidak mahu bergerak, dan hanya berehat di bawah sinaran matahari, ia masih menenangkan.”

“Kanak-kanak tidak mahu meninggalkannya sekali mereka memijaknya. Mereka terus melompat dan berkejaran antara satu sama lain dengan gembiranya,” kata pengurus taman mainan itu.
“Taman permainan ini betul-betul melebihi jangkaan kami.” kata salah seorang pengunjung.
Namun demikian, pengunjung tidak dibekalkan dengan sebarang alat kesalamatan.
“Kami mementingkan nyawa semua orang. Jika ia tidak selamat, ia tidak akan beroperasi,” kata pengusaha. Bagi mengusir kebimbangan orang ramai, pengusaha mendakwa mereka melakukan pemeriksaan harian terhadap taman permainan tersebut.
Sebenarnya, ramai orang tidak tertarik hati dengan taman permainan tersebut.

“Tak bolehkah kalau main di atas tanah sahaja? Jika berlaku kemalangan, macam mana nak selamatkan diri?” kata salah seorang warga siber.
Ada juga individu yang mengatakan dia tidak berdaya untuk berdiri di atas jaring tersebut biarpun dibayar untuk melakukannya.
Selepas menyaksikan sendiri video yang dikongsi oleh South China Morning Post, adakah anda berani untuk bermain di taman permainan udara China ini?