Baru-baru ini, tular di media sosial video seorang jururawat lelaki menyuapkan makanan kepada seorang pesakit lelaki warga emas.

Menurut pemilik video Muhammad Nadzry, jururawat yang bernama Hafiz itu ialah rakannya. Mereka bertugas di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor.
Pada mulanya, Hafiz membersihkan mulut dan dada pesakit. Dia kemudian menyuapkan makanan kepada pesakit tersebut. Hafiz dilihat melakukan tugasnya dengan penuh dedikasi.

Difahamkan, tiada waris baik anak, isteri mahupun saudara-mara yang menziarahi pesakit warga emas itu. Dia juga dikatakan bersendirian sejak dimasukkan ke hospital.
Menurut Nadzry, pesakit yang ditempatkan di wad ortopedik kerana menjalani pembedahan itu memerlukan bantuan bagi melakukan aktiviti hariannya seperti makan dan mandi.
Di sinilah Hafiz tampil membantu pesakit tersebut biarpun perkara itu tidak termasuk tugas-tugas hakiki seorang jururawat. Namun atas dasar kemanusiaan, Hafiz melakukannya dengan rela hati.

Meninjau di ruang komen platform TikTok, ramai warga siber yang memuji tindakan murni Hafiz membantu pesakit lelaki terbabit.
Bagus staff ni.. @hafizMYPS
@kopisusu
alhmadulillah… semoga Allah membalas jasa baik kalian… teruskan istiqamah dan memberikan perawatan yang terbaik untuk semua pesakit-pesakit kita..:)
@IzaShariza
mulianya hati nurse ni…
@radzuan8221
hebat.. tak semua orang mampu layan patient dengan ikhlas
@anissubly
Kerjaya kejururawatan telah bermula di Malaysia sejak tahun 1800.
Perkhidmatan yang pertama bermula di Pulau Pinang dan Singapura oleh anggota dari East India Co. yang kemudiannya digantikan oleh nuns Katholik.
Latihan sambil bekerja jururawat pertama ialah di Johor Bahru pada tahun 1938. Namun terhenti sekitar tahun 1942 hingga 1945 disebabkan Perang Dunia Kedua.
Sekolah Kejururawatan mula ditubuhkan pada tahun 1946 iaitu di Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur manakala sistem penjagaan kesihatan pula mula berkembang di Malaya pada tahun 1951.
Kerjaya kejururawatan merupakan kerjaya yang dinamik dan sentiasa berkembang seiring dengan kemajuan teknologi terkini dalam bidang perubatan dan perawatan bagi memenuhi keperluan dan kehendak dunia perubatan semasa.
Jika dahulu kerjaya jururawat sering dikaitkan dengan wanita, namun kini masyarakat lebih terbuka untuk menerima jururawat lelaki.
Hal ini dikatakan demikian kerana jururawat lelaki lebih diperlukan dalam beberapa urusan terutama yang melibatkan kekuatan fizikal.
Sebagai contoh, mereka diperlukan di dewan bedah dan di wad yang memerlukan penjagaan kepatahan tulang dan di kecemasan.
Skop perkhidmatan jururawat adalah merangkumi bidang dan pengkhususan berikut:
- Perkhidmatan Primer – Memberi jagaan perawatan primer dan kecemasan di fasiliti kesihatan yang memfokuskan kepada perkhdimatan seperti penjagaan kesihatan ibu hamil, penjagaan kesihatan ibu selepas bersalin, kebidanan di rumah, penjagaan kesihatan bayi dan kanak-kanak di bawah enam tahun termasuk imunisasi, kesihatan orang kurang upaya dan lain-lain.
- Perkhidmatan Sekunder dan Tertiar – Memberi perkhidmatan di pelbagai unit pengkhususan, kepakaran dan sub kepakaran di hospotal-hospital yang merangkumi aktiviti-aktiviti di bidang Kecemasan dan traumatologi, anestesialogi, rawatan rapi dan lain-lain.
Seorang jururawat profesional mestilah penyayang, cergas, sopan, penyabar, jujur, prihatin, berupaya berkomunikasi dengan baik serta mempunyai sikap yang positif.
Jika anda berminat untuk menceburi bidang kejururawatan, bolehlah memohon secara dalam talian di laman http://www.spa.gov.my. Permohonan adalah berdasarkan “Sistem Mengambil Sepanjang Masa” (SMSM) dan sah selama satu tahun.
Kepada jururawat di luar sana, kami ucapkan terima kasih atas sumbangan anda kepada masyarakat dan negara.