“Saya tak fikir panjang dan terus terjun untuk selamatkan wanita itu selepas melihatnya hanyut dibawa arus deras.”
Demikian kata Choo Ngiam Choong, menceritakan detik cemas menyelamatkan wanita yang dihanyutkan arus deras bersama Myvi selepas kenderaan itu terbabas ke dalam parit.
Kontraktor berusia 50-an itu disifatkan sebagai ‘hero’ selepas video detik cemas insiden terbabit menjadi tular yang memaparkan aksinya terjun ke dalam parit dengan arus deras berhampiran Jalan Bukit Samsu Jalan Kota Tinggi-Mersing, sebelum membantu menyelamatkan mangsa yang berisiko hanyut.
Menurut Choong, ketika kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, dia dalam perjalanan menikmati sarapan pagi dari Kota Tinggi menuju Mawai, sebelum menghentikan kenderaan sebaik melihat rakannya menghentikan kereta.
Katanya, dia terkejut mendapati sebuah kereta Myvi hanyut dalam longkang besar dengan dua wanita turut dihanyutkan arus deras.
“Seorang wanita sempat menyelamatkan diri, manakala seorang lagi hanyut… melihatkan berisiko untuk lemas, saya terus terjun untuk mencapai wanita itu dan beberapa rakan serta orang awam berada di tempat kejadian juga membantu.
“Saya bersyukur dan sangat gembira dapat menyelamatkan wanita itu dalam tempoh kurang lima saat bagi mengelakkannya ditimpa kejadian tidak diingini,” katanya.
Anak ke-10 daripada 12 beradik dan berasal dari Kota Tinggi itu berkata, dia juga bersyukur tidak mengalami kecederaan ketika membantu mangsa berkenaan.
“Saya memang pandai berenang dan pernah meredah kawasan bukit serta mencabar sebelum ini.
“Syukur saya memiliki stamina untuk bantu mangsa itu.
“Wang ringgit masih boleh dicari namun sekiranya nyawa melayang tiada penggantinya,” kata Choong ketika dihubungi Berita Harian.
Terdahulu, tular video memaparkan sebuah Perodua Myvi dihanyutkan arus dengan seorang wanita dilihat berpaut pada bahagian belakang kenderaan itu sambil meminta tolong.
Sementara itu, Ketua Polis Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian Myvi hanyut berkenaan yang dinaiki dua wanita berusia 37 dan 43 tahun.
“Siasatan awal mendapati kereta terbabit terbabas melalui jalan yang dinaiki air dan memasuki longkang besar sebelah kanan jalan menghala Kota Tinggi.
“Kedua-dua mangsa diselamatkan orang awam apabila kenderaan dihanyutkan arus deras,” katanya.
Hussin memaklumkan pemandu tidak mengalami kecederaan, manakala penumpang cedera ringan dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kota Tinggi.
Tonton video di sini.