Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan mengambil sampel air sungai di Kampung Kuala Hau, Machang untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi mengenalpasti kandungan bahan pencemar serta menyiasat punca terjadinya fenomena air berwarna hijau.
Pengarahnya, Wan Aminordin Wan Kamaruddin berkata, pihaknya menerima laporan kejadian air bertukar berwarna hijau dari penduduk dan susulan tular video mengenai perkara itu.

“Keputusan kimia sampel air yang diambil akan diketahui dalam masa yang terdekat,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, JAS juga akan menyiasat aktiviti di kawasan sekitar dan sepanjang sungai berkenaan dengan penggunaan dron.
Dalam pada itu penduduk mendakwa, fenomena air hijau di kampung itu bukan situasi luar biasa berikutan sudah berlaku sejak tiga tahun lalu apabila musim banjir.

Penduduk kampung, Wan Syafiq Wan Suhaimi, 23, berkata kepada Harian Metro, kawasan berkenaan adalah anak sungai dan bertukar menjadi lautan hijau apabila hujan lebat yang berterusan.
“Air mula bertukar kehijauan pada Sabtu lalu (23 Disember) dan pada ketika ada penduduk kampung yang merakam situasi berkenaan sehingga tular di media sosial.

“Tiga tahun lalu, fenomena ini belum tular kerana dianggap perkara biasa bagi penduduk di kawasan ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Hau.
Tinjauan Harian Metro mendapati ramai penduduk kampung dan pemandu kenderaan singgah melihat fenomena berkenaan selain turut merakamnya kerana menganggap ia kenangan terindah.