PETALING JAYA: Zayn Rayyan, 6, kanak-kanak autistik yang dilaporkan hilang sejak 5 Disember ditemui sudah meninggal dunia berdekatan dengan rumahnya.
Di sebuah sungai kira-kira 200 meter daripada lokasi yang dilaporkan hilang, Zayn Rayyan Abdul Matiin ditemui sudah tidak bernyawa.
Penemuan tersebut adalah hasil kerjasama 40 anggota polis Petaling Jaya serta 60 wakil penduduk Apartment Idaman, Damansara Damai.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid yang berada di lokasi kejadian mengesahkan penemuan itu.
Lokasi mayat Zayn Rayyan ditemukan adalah termasuk dalam radius pasukan mencari dan menyelamat sebelum ini.
“Memang kita dah lakukan pencarian di kawasan berkenaan sejak malam semalam (kelmarin) dan petang tadi (semalam).
“Namun tidak menemukan sebarang petunjuk bahawa mangsa ada di kawasan berkenaan.
“Polis akan menjalankan siasatan lanjut disebabkan lokasi ditemui ini adalah kawasan aliran air.
Fakhrudin dalam satu kenyataan berkata bahawa pihaknya tidak menolak kemungkinan faktor hujan lebat dan air naik di kawasan anak sungai dan longkang berhampiran menyebabkan mereka tidak menemui mangsa sebelum ini.
“Hinggalah mayatnya ditemukan dalam keadaan mengiring dalam sungai, pada pukul 10 malam tadi,” kata Fakhrudin.
Susulan penemuan itu, lokasi kejadian ditutup bagi membolehkan siasatan awal dibuat.
Manakala mayat Zayn Rayyan pula dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.
Terdahulu, berita tempatan melaporkan kanak-kanak itu dilihat kali terakhir memasuki ke kawasan belukar berhampiran kediaman mereka.
Ibunya, Ismanira Abdul Manaf, 28 berkata ada kanak-kanak lain di kawasan tersebut mendakwa ternampak anaknya itu memasuki belukar yang terletak kira-kira 100 meter dari blok rumahnya.
Sebelum kejadian, Ismanira membawa anak sulungnya itu bermain di taman permainan sejurus pulang dari sekolah.
Katanya, sebaik tiba di kawasan perumahan anaknya itu meragam dan mahu bermain buaian di taman permainan.
“Saya turuti permintaanya dan menungu dia bermain buaian selama beberapa minit sebelum memujuknya naik ke rumah.
“Ketika menaiki tangga, saya memegang barang basah yang baru dibeli dan beg sekolah sementar Zayn menuruti saya dari belakang.
“Namun selepas beberapa langkah saya memanggilnya, dia tidak menjawab dan apabila saya toleh lihat dia sudah tiada,” katanya.
Jelas Ismanira, dia berpatah semula untuk mencari anaknya itu di taman permainan dan di belakang blok rumahnya namun gagal ditemukan.