26.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024
UtamaInspirasiIsu guru besar tidur dalam stor, KPM maklum sekolah sudah dinaik taraf

Isu guru besar tidur dalam stor, KPM maklum sekolah sudah dinaik taraf

Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengambil tindakan bagi menambah baik akses dan fasiliti pendidikan Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan, Telupid, Sabah susulan aduan tular Guru Besar sekolah berkenaan.

Dalam kenyataannya KPM berkata pihaknya memandang serius perkara itu kerana ia melibatkan kesejahteraan guru, murid dan seluruh warga sekolah.

“KPM cakna mengenai video tular seorang guru besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan, Telupid, Sabah yang tidak mempunyai kediaman dan terpaksa tinggal di sekolah.

Gambar Sabah Info

“Kerja-kerja pembinaan melibatkan pembinaan blok akademik dan pentadbiran serta kemudahan lain termasuk pembelian perabot sedang rancak berjalan,” menurut kenyataan pada 19 November.

Mengulas lanjut, KPM berkata, SK Ulu Ansuan juga telah diluluskan untuk pembinaan empat unit kuarters baharu semasa pembentangan Belanjawan 2024 yang lalu.

Jelasnya, kesemua projek penambahbaikan akses dan fasiliti pendidikan di SK Ulu Ansuan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM12.5 juta.

“Bagi penyelesaian jangka pendek kediaman guru di sekolah tersebut pula, KPM telah siap melaksanakan projek selenggara kuarters dengan peruntukan RM200,000.

“KPM terus tekad untuk menambah baik akses dan fasiliti di semua sekolah di seluruh negara yang memerlukan perhatian bagi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kebajikan guru, murid serta seluruh warga sekolah terpelihara,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, seorang guru besar di Sekolah Kebangsaan Ulu Ansuan, Telupid, Sabah dikenali sebagai Cikgu George Odol menunjukkan stor sekolah di mana ia merupakan tempat tinggalnya selama lebih tiga tahun sepanjang bertugas sebagai seorang guru.

Gambar Sabah Info

Kata guru tersebut, pada tahun 1999 ketika sekolah itu dibina, guru-guru terpaksa tinggal di rumah orang-orang kampung dan kelas yang diubah suai kerana tiada rumah guru disediakan.

“Kemudian Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah membina dua buah rumah yang ‘ala kadar’ sahaja. Ketika saya ditugaskan di sekolah tersebut pada tahun 2020, saya terpaksa tinggal di stor prasekolah dengan keluasan 144 kaki persegi,” jelasnya.

“Agak menyedihkan seorang pegawai pendidikan, pentadbir sekolah, guru besar terpaksa tinggal di rumah yang begini sahaja.

“Saya terpaksa berkongsi dapur dan kamar mandi prasekolah,” katanya.

Bagaimanapun, Cikgu George mengakui sedikit pun tidak kesal sebagai guru dalam kalangan etnik Kadazan Dusun yang terpaksa korbankan keselesaan menetap di kawasan pekan atau di bandar untuk datang ke sekolah pedalaman.

Tambahan pula, katanya, kebanyakan murid di sekolah kawasan pedalaman di negeri ini adalah etnik Kadazan Dusun.

“Justeru, jika bukan kami guru (dalam kalangan etnik) Kadazan Dusun datang ke sini untuk mendidik anak Dusun di sekolah pedalaman, siapa lagi yang (boleh) diharapkan,” katanya yang menerima keadaan itu.

Gambar Sabah Info

Beliau menyifatkan, ia pengorbanan mereka sebagai pendidik yang dihantar bertugas di sekolah pedalaman negeri Sabah.

Bagaimanapun, katanya, pada penghujung perkhidmatannya, sebuah rumah panjang tujuh pintu dibina di sekolah, namun beliau mengambil keputusan tidak menetap di situ dan memberi keutamaan kepada guru dari luar daerah Telupid.

Cikgu George Odol telah bersara wajib sebagai Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan, Telupid pada 25 November lalu.

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

- Advertisment -

Pengasas Falun Gong: Mengapa Wujudnya Manusia

Falun Gong Founder Mr. Li Hongzhi Publishes ‘How Humankind Came To Be’ 法輪功創始人發表《為甚麼會有人類》 Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi...

Pengasas Falun Gong: Mengapa Pencipta Berusaha Menyelamatkan Segala Makhluk

Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi dan latihan lembut dengan falsafah moral yang berdasarkan prinsip Sejati, Baik,...
spot_img

TREN TERKINI