Seorang lelaki pulang ke rumah selepas hilang selama dua hari tetapi mendakwa dirinya hilang kurang sehari, seolah-olah telah memasuki “dunia berbeza” dan mengalami fenomena aneh yang tidak dapat dijelaskan.
Penyunting video berusia 24 tahun, Muhd Danial Hakim Mohd Saiful berkata selepas selesai waktu bekerja, dia telah menaiki MRT dari Petaling Jaya ke Sungai Buloh seperti biasa. Kira-kira jam 8 malam, dia mengambil keretanya di stesen MRT dan memandu pulang.
Tiba-tiba, dia berasa pening yang luar biasa dalam perjalanan, jadi meletakkan kereta di tepi jalan dan tidur sebentar untuk berehat seketika sebelum terus pulang.
Pandangan menjadi kabur dan tidak boleh membuka pintu kereta.
Apabila tersedar, tiba-tiba dia teringatkan isterinya yang berada di rumah dan menunggu mereka keluar untuk makan malam bersama, jadi dia dengan cemas ingin bergegas pulang, tetapi mendapati dirinya tidak dapat mencari jalan pulang. Tidak kira bagaimana dia memandu, dirinya terus mengelilingi kawasan yang sama. Tiba-tiba, penglihatannya menjadi semakin kabur, dan keadaan di luar menjadi gelap gelita, membuatkannya hampir mustahil untuk melihat apa-apa.
Selepas itu, dia cuba menghubungi isterinya namun gagal, malah dia juga tidak dapat membuka pintu kereta, selain enjin kereta terus gagal dihidupkan.
Menurutnya, dia juga hanya melihat di luar kereta dalam keadaan gelap dan tidak dapat berbuat apa-apa.
Mujur malam itu, dia terdengar bunyi azan dan cuba menghidupkan kereta sebelum berjaya mengikut laluan berpandukan lampu kereta dan akhirnya menemui sekolah bersama kedai makan yang memang dicam olehnya lalu dapat pulang.
Sebaik tiba di parkir rumah flatnya, dia terus menghubungi isterinya dan memaklumkan dia berada di bawah dan tidak larat hendak naik ke atas.
Muhd Danial Hakim ditemukan dalam keadaan lemah dan lapar kerana tidak makan selama dua hari.
Perkara paling pelik buat dirinya, semua ini hanya berlaku dalam masa 8 hingga 10 jam. Tetapi selepas pulang ke rumah dan bertanya kepada keluarganya, dia mendapati dirinya telah hilang selama 48 jam, dan ahli keluarganya mencarinya di mana-mana, tetapi gagal kesan.
Kemudian, mereka melaporkan kehilangannya di balai polis berdekatan. Muhd Danial Hakim berkata orang lain mungkin tidak mempercayai pengalaman yang dilaluinya dengan berkata, “Walaupun saya masih trauma, saya gembira dapat pulang ke rumah dan bersatu semula dengan keluarga.”
Menurut isterinya, Putri Nik Badzlin Amir, dia menghubungi suaminya pada jam 6 petang pada hari kejadian, namun gagal mengesannya sejam kemudian. Namun kira-kira jam 7:11 malam itu, tiada sebarang maklum balas pada kesemua mesej yang dihantar.
“Pada masa itu, saya fikir telefonnya kehabisan bateri. Tetapi dia tidak pulang ke rumah sehingga pukul 11, dan dia terus tidak dapat dihubungi. Saya menghubungi rakan sekerja suami dan mereka semua mengatakan dia telah pulang pada pukul 6:30 petang,” katanya.
Isteri dan saudara-mara serta rakan-rakannya telah mula mencari di kawasan sekitar, termasuk hospital, tetapi tidak menemui apa-apa jejak.
“Dia seorang yang sangat optimis dan tidak akan menyembunyikan masalahnya. Dia tidak mempunyai musuh, jadi kehilangannya memang luar biasa,” kata isterinya.
Berdasarkan rekod transaksi kad Touch ‘n Go (TnG) mendapati kereta Kia Forte milik Muhd Danial Hakim keluar dari Stesen MRT Sungai Buloh pada 8 malam hari sama.
Walau apa pun, lelaki itu kini telah selamat pulang ke pangkuan keluarganya, tetapi sama ada ia suasana aneh atau fenomena ghaib dalam masa 48 jam itu masih menjadi perkara misteri yang tidak dapat dipastikan.