Seorang pekerja Mohamad Hazreel Mazlan yang bertugas di sebuah syarikat perdagangan pada siang hari, menjadi barista dan pemilik kedai kopi pada waktu malam demi menjana pendapatan tambahan.
Hazreel memulakan perniagaannya dengan modal yang agak kecil sambil menjadikan kereta Honda CRV milik keluarganya menjadi kafe DIY.
Sebelum membuka Lujayn’s Coffee di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur, Hazreel merupakan pemandu e-hailing sambilan.
Menurut Bernama, Hazreel membelanjakan kira-kira RM15,000 untuk membeli mesin pembuat kopi, mesin espresso, mesin pengisar kopi, dan generator kecil untuk memulakan perniagaannya.
“Memandangkan ini kereta keluarga, saya tidak dapat mengubah suai rak dalam but… Saya terpaksa memilih sesuatu yang boleh dialihkan, sebab itu saya mendapatkan palet kayu, yang mudah untuk saya masuk dan keluarkan dari dalam but dan untuk mudah membersihkan ruang itu juga,” kongsinya.
Inspirasi untuk membuka kafe mudah alih but keretanya datang selepas Hazreel bertemu dengan pengusaha Kopi Rumah, yang turut menggunakan keretanya sebagai platform perniagaan.
“Saya pernah pergi café hopping, dan ketika itulah saya bertemu dengan pemilik Kopi Rumah, yang menjual kopi dari but keretanya.
“Saya kemudiannya memulakan penyelidikan dan mencari perniagaan sama yang beroperasi di seluruh Malaysia. Saya juga bermalam di lokasi tertentu untuk mengkaji bagaimana mereka mengendalikan perniagaan dari but kereta mereka,” kata Hazreel.
Dengan dorongan daripada rakan-rakannya dan petua berharga daripada pemilik Kopi Rumah, Hazreel memulakan perniagaan kopinya selepas mempelajari teknik membuat pelbagai jenis kopi daripada video YouTube dan bahan bacaan.
Hazreel berkata pendapatan yang diperoleh daripada kedainya akan digunakan untuk membiayai perkahwinannya.
“Sebenarnya, jumlah jualannya sukar ditentukan. Adakalanya, kami menjual sehingga 20 cawan, dan ada kalanya kami menjual kurang daripada 10 cawan kerana kami beroperasi dengan masa yang terhad hanya empat jam pada waktu malam.
“Saya menjalankan perniagaan hanya untuk mendapatkan wang tambahan bagi perkahwinan kami,” kata Hazreel.
Anda yang berminat merasai keenakan kopi Lujayn’s Coffee boleh berkunjung ke alamat ini:
Berhampiran Myride Bespoke Wangsa Setia
Jalan Wangsa Setia 1, Wangsa Melawati
53300 Kuala Lumpur.
Waktu perniagaan:
8 malam – 12 pagi (Selasa – Ahad)