26.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, December 12, 2024
UtamaGaya HidupMonyet belanda tumpang bot dua pemancing untuk ke seberang cuit hati ramai

Monyet belanda tumpang bot dua pemancing untuk ke seberang cuit hati ramai

Tidak sangka pula muncul monyet berenang entah dari mana, tiba-tiba tumpang bot untuk kembali ke darat. Biasa bergayut di dahan pokok, ini luar biasa bergayut di dayung sampan.

Itulah yang dipaparkan dalam video tular pada minggu lalu apabila dua pemancing dalam sebuah bot yang belas kasihan menumpangkan seekor monyet belanda atau Proboscis dan rakaman itu telah mencuit hati netizen.

Facebook

Menurut pemilik video dikenali Norman Chendang, mereka terserempak dengan haiwan berkenaan semasa memancing kira-kira jam 9.30 pagi 13 Ogos lalu di Muara Selalang di Tanjung Manis, Sibu, Sarawak.

“Monyet itu sedang berusaha berenang menyeberangi sungai, kami kasihankannya dalam keadaan tercungap-cungap kerana keletihan di tengah sungai,” katanya.

“Kami juga bimbang dia mungkin diserang buaya jadi kami mengambil keputusan untuk menumpangkannya,” jelasnya.

Facebook

Norman yang bekerja sebagai juruelektrik di limbungan kapal di Sibu berkata, rakannya Lawrence Joe telah menggerakkan bot itu dan dia duduk di bahagian hadapan.

Norman cuba mengaut monyet itu keluar dari permukaan air menggunakan pukat darat.

“Tetapi saya hampir digigitnya, kemudian saya menggunakan dayung untuk membawanya ke dalam bot. Dia bertindak agresif pada mulanya, menggigit tepi bot dan dayung, saya takut dan hampir terjun ke dalam air,” kata Norman.

Akhirnya monyet itu keletihan lalu mengalah masuk ke dalam bot dan duduk diam di tepi bot, dengan videonya memandang kamera dengan bergaya selamba berjaya dirakam.

Dalam video berdurasi lebih tiga minit itu, monyet berkenaan duduk di tepi bot dengan Norman duduk di bahagian hadapan.

Lawrence turut kedengaran mengusik haiwan itu.

Facebook

Haiwan itu turut dilihat melompat ke dalam air sebanyak tiga kali sepanjang rakaman video, mungkin kerana dia tidak sabar-sabar untuk menjejakkan kaki ke darat.

Tetapi berkat kesabaran terus melayan monyet belanda ini dengan tenang, Norman dan Lawrence akhirnya berjaya membantunya menyeberangi sungai.

Menurut Norman, kejadian ini pertama kali mereka alami sepanjang memancing di kawasan itu.

“Keseluruhan perjalanan bersama monyet itu mengambil masa kira-kira 30 minit,” katanya.

Monyet Proboscis (Nasalis larvatus) atau rasong dalam bahasa penduduk tempatan merupakan spesies yang dilindungi sepenuhnya di Sarawak.

Facebook

Menurut Utusan Borneo memetik penyelidikan bertajuk ‘Kajian Monyet Proboscis di Taman Negara Bako (Dahulu, Kini dan Masa Depan) dan Implikasinya kepada Pengurusan Taman’ oleh Mohamad Kasyfullah Zaini dan Siali Aban dari Sarawak Forestry Corporation menyatakan, hanya terdapat lima tapak yang direkodkan di Sarawak di mana haiwan itu boleh didapati iaitu di Taman Negara Bako, Santuari Hidupan Liar Samunsam, Taman Negara Maludam, Taman Negara Tanah Lembap Kuching dan Hutan Simpan Kuala Lawas.

Penyelidikan juga menyatakan Salter & Mackenzie menganggarkan hanya kira-kira 2,000 ekor monyet Proboscis ditemui di Sarawak.

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

- Advertisment -

Pengasas Falun Gong: Mengapa Wujudnya Manusia

Falun Gong Founder Mr. Li Hongzhi Publishes ‘How Humankind Came To Be’ 法輪功創始人發表《為甚麼會有人類》 Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi...

Pengasas Falun Gong: Mengapa Pencipta Berusaha Menyelamatkan Segala Makhluk

Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi dan latihan lembut dengan falsafah moral yang berdasarkan prinsip Sejati, Baik,...
spot_img

TREN TERKINI