Dengan hanya mengemis di jalanan, seorang lelaki di India berjaya menukar status hidupnya menjadi jutawan dalam sekelip mata.
Menurut laporan Mothership, lelaki tersebut kini mempunyai kekayaan dengan nilai bersih sebanyak RM4.24 juta dan memiliki dua pangsapuri bernilai RM397,000.
Pengemis terkaya di dunia bernama Bharat Jain itu pada mulanya mengalami masalah kewangan yang menyebabkan dia tidak mampu untuk menyambung pelajaran akibat terlalu miskin.

Perkara malang tersebut telah mendorongnya untuk membuat keputusan menyara dirinya dengan mengemis dan memperoleh sekitar RM113 hingga RM141 dalam masa 10 hingga 12 jam dalam sehari.
Sekiranya dilakukan dalam masa sebulan pada waktu yang sama, hasil pendapatan mengemis Bharat mampu mencecah kira-kira RM3,400 sehingga RM4,200.
Akhirnya, lelaki itu mampu membeli dan memiliki dua buah kedai di bandar Thane dan mengutip sewa RM1,700 setiap bulan.
Kini, Bharat tinggal di dupleks Bedroom Hall Kitchen, yang mempunyai bilik tidur, dewan dan dapur yang terletak di Parel bersama isteri, dua anak lelaki, serta abang dan bapanya.
Anak-anaknya kini mampu menerima pendidikan secara formal tanpa mengalami masalah yang pernah dialaminya pada satu ketika dahulu.
Manakala ahli keluarganya menjalankan perniagaan dengan modal hasil wang mengemis itu di mana mereka kini memiliki kedai alat tulis.

Oleh kerana kehidupan Bharat telah berubah ke arah lebih baik, keluarganya menasihatkan lelaki itu supaya tidak lagi melakukan perbuatan mengemis.
Namun, disebabkan Bharat sudah terbiasa dengan rutinnya, dia tidak mengendahkan nasihat keluarganya untuk berhenti mengemis.
Jutawan Bharat Jain kini masih boleh dilihat mengemis di jalanan sekitar Mumbai.
Pilihan Editor: