Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan dinobat sebagai naib juara kategori Beregu Wanita dalam kejohanan PERODUA Malaysia Masters 2023 yang berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil pada 28 Mei.
Pasangan itu mempamerkan aksi cemerlang di final menentang Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea Selatan yang muncul juara dengan mata 22-20, 8-21 dan 21-17.
Pada Terbuka Perancis 2022 yang berlangsung pada akhir tahun lalu, Pearly dan Thinaah berjaya menewaskan pasangan Korea Selatan itu dalam aksi separuh akhir dan muncul juara ketika bertemu pasangan Mayu Matsutomo-Wakana Nagahara dari Jepun.
Kedua-dua pasangan yang beraksi cemerlang bermula set pertama, menyaksikan Pearly-Thinaah bangkit daripada ketinggalan di awal permainan sehingga berjaya mendahului 20-17 sebelum wakil Korea Selatan itu bangkit memastikan kemenangan 22-20.
Enggan menyerah kalah, Pearly-Thinaah memasang rentak permainan yang agresif dalam set kedua, mendahului 11-4 sebelum mengheret permainan ke set penentuan apabila menang 21-8.
Tahap kecergasan menjadi penghalang utama dalam set ketiga, apabila beregu negara itu ketinggalan 17-10 namun berjaya bangkit mengejar permainan 15-18.
Pearly-Thinaah menunjukkan semangat juang yang tinggi sehingga ketitisan keringat terakhir untuk kekal dalam permainan sebelum akur dengan kekalahan 21-17.
Aksi perlawanan cemerlang yang berjaya menawan hati semua penonton yang hadir di Arena Axiata.
Selain Pearly dan Thinaah, beregu lelaki yang mewakili Malaysia, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun turut tewas di final kepada pasangan Kang Min-hyuk dan Seo Seung-jae dari Korea Selatan dengan mata 21-15, 22-24 dan 21-19.
Pilihan Editor: