Kes-kes penipuan yang melibatkan wang ringgit di tempat awam seharusnya dilaporkan kepada pihak berkuasa setempat supaya suspek berkenaan dapat dikenakan tindakan yang sepatutnya. Dan, salah satu cara yang dilihat berkesan pada zaman teknologi yang canggih ini adalah dengan merakam video sebagai bukti kejadian sebagai dokumen sokongan dalam laporan.
Baru-baru ini, tular di media sosial apabila didapati bahawa beberapa orang pelancong dari negara China didakwa memperdaya pengunjung di pusat hiburan Genting Highlands dengan meminta wang ringgit dengan alasan untuk membeli makanan.
Berdasarkan video yang dimuat naik di laman sosial, penipuan ini dilakukan oleh dua orang wanita dari negara China yang dirakam sedang meminta wang daripada seorang lelaki. Apabila melihat situasi itu, perakam video berkenaan dengan segera merakam kejadian itu sebelum disedari oleh seorang lagi wanita yang didakwa bersubahat dengan wanita yang sedang meminta wang itu.
Wanita berkenaan kemudiannya cuba untuk menghalang perakam video daripada mengambil video, tetapi perakam video itu dengan cepat terus pergi ke arah lelaki yang sedang cuba ditipu itu dan meminta dia untuk tidak memberi apa-apa wang kepadanya kerana menurutnya, dia sedang ditipu oleh wanita muda yang mendekatinya itu.
Menyaksikan situasi yang sudah diketahui sebagai satu sindiket penipuan, kedua-dua wanita itu kemudiannya dilihat tanpa berkata apa-apa terus beredar pergi dari kawasan itu.
Selepas penularan video ini, pada 8 Mei lalu, pihak pengurusan Resorts World Genting melalui laman Facebook rasminya telah meninggalkan komen pada kiriman asal video dengan memaklumkan bahawa kes penipuan ini telahpun mendapat perhatian pihak polis.
“Kami telah mengenalpasti 4 orang suspek penipuan dan kes ini sedang disiasat oleh pihak polis,” tulis laman Resorts World Genting sambil memberi jaminan bahawa keselamatan para pengunjung di tanah tinggi itu adalah keutamaan mereka.
Disamping itu, dalam masa yang sama, pihak keselamatan di Resorts World Genting juga menjamin akan turut meningkatkan pengawalan supaya sindiket penipuan ini tidak berleluasa yang seterusnya boleh mengakibatkan kerugian kepada para pengunjung.
Pilihan Editor: