Seorang remaja lelaki berasal dari Bangladesh yang sebelum ini terperangkap dalam kontena di Pelabuhan Klang ditemukan lemas di kolam berhampiran rumahnya di Cumilla pada 29 April.
Memetik laporan Bdnews24.com, Ratul Islam Fahim yang berusia 16 tahun dilaporkan lemas ketika mandi seorang diri di kolam berkenaan.
Bapa mangsa, Faruk Mia yang merupakan seorang buruh di kampung Satpukuria memberitahu polis, anaknya Ratul mengalami masalah mental dan tidak pandai berenang.
“Ratul mandi seorang diri kerana ketika semua ahli keluarga yang lain sedang menuai padi di sawah.
“Bagaimana saya boleh hidup selepas ini?” katanya yang sedang berduka.
Tambahnya, pemergian anak sulung daripada tiga beradik itu ternyata memberikan satu tamparan hebat buatnya.
Menurut Bdnews24.Com, Ratul telah dikebumikan tanpa sebarang proses bedah siasat atas permintaan keluarga setelah mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan.
Pada 17 Januari lalu, remaja lelaki warga Bangladesh itu dihantar pulang ke negara asalnya selepas ditemukan di dalam kontena di atas sebuah kapal “MV Integra” yang berlepas dari Pelabuhan Chittagong ke Pelabuhan Barat, di Pelabuhan Klang, Selangor.
Sejak daripada itu, kisah Ratul menjadi perhatian media antarabangsa.
Ratul dilaporkan terselamat meskipun tanpa makanan dan minuman selama beberapa hari ketika terkurung di dalam kontena berkenaan.
Berdasarkan siasatan awal, remaja itu dipercayai tertidur di dalam kontena dan tidak menyedari dia dibawa ke dalam kapal dan berlepas dari pelabuhan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) kemudian mengaturkan untuk mendapatkan dokumen Ratul Islam Fahim daripada Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia sebelum menghantarnya pulang pada 21 Februari lalu.
Pilihan Editor: