Dawn Sagar, 40, yang merupakan salah seorang pekerja di sebuah pasar raya di United Kingdom pada 15 Februari lalu telah terlepas hadiah bernilai £100,000 (RM541,582.24) setelah dia tanpa sengaja termakan sekeping snek ubi kentang yang berbentuk hati.
Menurut ibu kepada dua orang anak itu, kejadian yang mampu mengubah hidupnya itu berlaku ketika dia sedang berehat sebelum memulakan tugasnya dan dia membuat keputusan untuk memakan snek berjenama Walkers itu.
Pun begitu, semasa menikmati snek itu, Dawn terjumpa sekeping snek yang berbentuk hati yang sangat sempurna dalam pek snek yang dibelinya itu. Dengan rasa teruja dengan penemuannya itu, Dawn dengan segera telah menangkap gambar kepingan snek berbentuk hati itu sebelum menghantarnya kepada rakan-rakannya. Tanpa mengesyaki apa-apa, Dawn kemudiannya terus memakan kepingan snek itu.
Tanpa disangka-sangka, rakan-rakan Dawn yang melihat gambar itu dengan segera memaklumkan kepada Dawn untuk tidak memakan kepingan berbentuk hati itu kerana syarikat pengeluar snek berkenaan ada menganjurkan pertandingan mencari snek berbentuk hati!
Sebaik sahaja membaca perkhabaran itu, Dawn yang berasa sangat terkejut tidak mampu lagi berbuat apa-apa, kerana semuanya sudah terlambat. Kepingan snek itu telahpun selamat dimakan.
“Saya berasa terkilan, tetapi anda tahu, ini bukanlah pengakhiran untuk dunia, bukan? Ianya mungkin akan membuatkan kehidupan saya menjadi sedikit gembira, tetapi saya belum mendapat wang itu lagi jadi tidak ada perbezaan yang berlakupun,” kata Dawn kepada laman Mirror.
Tambah Dawn, ramai kenalannya yang meluahkan rasa terkilan mereka kepadanya tetapi pada pendapat Dawn, hal ini mungkin adalah yang terbaik buatnya kerana dia masih belum pernah mendapat wang sebegitu. Jadi, kemenangan itu mungkin juga akan membuatkan dia lebih terseksa.
Walaupun Dawn masih kekal positif setelah terlepas peluang untuk memenangi “durian runtuh” itu, namun Dawn tetap selalu mengingatkan kepada sesiapa yang membeli snek ubi kentang berjenama Walkers itu untuk sentiasa peka dan mengelakkan untuk memakan snek yang berbentuk hati. Hal ini adalah supaya kesilapan yang dilakukannya tidak akan berulang kembali.
Memetik kenyataan oleh syarikat pengeluar snek berkenaan pula, mereka turut bersimpati dengan keadaan yang dilalui Dawn dan menyatakan bahawa peluang untuk memenangi pertandingan itu masih terbuka sehingga 20 Mac 2023.
“Kepingan ubi kentang berbentuk hati sudah banyak kali terhasil secara semula jadi dalam kebanyakan daripada pek snek jenama Walkers, jadi selagi pertandingan ini belum ditutup, masih ada banyak masa untuk mencari kepingan ubi kentang berbentuk hati yang sempurna dan seterusnya memenangi £100,000 (RM541,582.24) itu,” kata jurucakap syarikat Walkers.
Pilihan Editor: