Pada zaman ini, apa juga pekerjaan tidak lagi mengira gender dan usia. Asalkan seseorang itu gigih berusaha demi pencarian rezeki, segala halangan menjadi alah bisa tegal biasa.
Seorang warga emas dan nenek dengan 16 cucu berusia 57 tahun gigih mengangkat tong gas setiap hari sebagai pekerjaan hariannya telah mencuri tumpuan kalangan warganet.
Nenek ini membuktikan wanita juga mampu lakukan pekerjaan berat yang dimonopoli kaum lelaki.

Bukan calang-calang orang yang boleh melakukan pekerjaan ini, nenek bernama Saparisah Abdul Rahman mampu mengangkat dan menghantar tong gas berisi petroleum cecair (LPG) dari rumah ke rumah dengan menaiki motosikal.
Tugas menghantar tong gas LPG berkenaan adalah kelangsungan perniagaan yang diusahakannya dan menjadi sumber mata pencariannya sejak lebih 15 tahun lalu, lapor Bernama.
Nenek ini berkata tiada istilah rehat atau penat dalam kamus hidupnya dan dia telah membuktikan bahawa wanita juga mampu melakukan pekerjaan itu, yang lazimnya dimonopoli kaum lelaki.
“Saya terdetik untuk memulakan perniagaan ini selepas melihat adik saya mengusahakannya. Kerja saya bukan sekadar menjual malah mengangkat, menghantar dan memasang tong gas ke rumah pelanggan,” katanya.

“Semasa mula berniaga pada 2004, memang rasa tidak yakin untuk angkat tong gas seberat 12 dan 14 kilogram, tapi lama-kelamaan jadi terbiasa walaupun sakit pinggang semuanya ada,” jelasnya.
Saparisah berkata dia memilih untuk berniaga gas LPG kerana dapat menikmati gaji secara harian.
“Sehari saya dapat jual 30 hingga 40 tong gas, paling banyak 50 tong. Saya seronok kerana dapat duit tunai setiap hari untuk dijadikan modal pusingan. Jika dulu kerja kilang, perlu tunggu sebulan baru dapat duit,” katanya yang mendapat bantuan Amanah Ikhtiar Malaysia bagi membangunkan perniagaannya.
Pilihan Editor: