Dr Ahmad Zahid Hamidi digesa meletakkan jawatan susulan kekalahan UMNO di PRU15.
Pengarah Operasi Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata perletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO tersebut adalah sebagai tanggungjawab atas kekalahan Barisan Nasional (BN) dan UMNO di Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam.
Menurut Onn Hafiz, langkah tersebut dituntut sebagaimana dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak yang telah berjiwa besar meletak jawatan sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO atas kegagalan pada PRU14.
“Kita semua sedia maklum bahawa satu tsunami politik orang Melayu telah berlaku, yang mana orang Melayu telah menolak UMNO. UMNO telah rebah.
“Dengan penuh rasa hormat dan takzim, saya mohon supaya Ahmad Zahid meletak jawatan sebagai Presiden dengan kadar segera, sebagaimana Datuk Seri Najib Razak lakukan pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Menteri Besar Johor itu lagi, keputusan PRU15 menyaksikan UMNO dan BN hanya menang sembilan kerusi Parlimen di Johor.
“Sementara itu, kita tidak memenangi satu pun kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan mahupun Terengganu.
“Walaupun pahit untuk ditelan, pemimpin UMNO termasuk saya sendiri perlu kembali mendengar suara rakyat yang telah diterjemahkan melalui undi mereka ketika PRU15 semalam.
“Ramai pemimpin UMNO, MCA dan MIC yang berkaliber dan berpotensi terkorban kerana kita tidak mahu mendengar denyut nadi akar umbi,” katanya.
Menerusi keputusan PRU15 yang diumumkan sehingga awal pagi tadi, BN dilaporkan hanya memenangi 30 kerusi Parlimen sahaja. Jumlah tersebut lebih rendah berbanding bilangan kerusi yang dicapai pada PRU14 iaitu sebanyak 54 kerusi.
Berdasarkan keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) beberapa kerusi yang dimenangi UMNO pada PRU14 lalu, telah tewas dan kini beralih ke Perikatan Nasioanal (PN).
Menurut Onn Hafiz, BN dan UMNO perlu berani membuat perubahan ke arah kebaikan dan demi masa depan parti.
Tambahnya lagi, usaha untuk memulih dan memperbaiki parti perlu bermula sekarang.
“Jika kita tidak berubah sekarang, kita tidak akan memenangi satu kerusi pun pada masa akan datang.
Jelas Onn Hafiz, tindakan meletakkan jawatan oleh Zahid Hamidi tersebut akan membantu mereka mengambil langkah pertama untuk memulihkan dan menguatkan kembali parti UMNO yang disayangi itu.
“Segala pengorbanan mereka akan dihargai dan InsyaAllah, perjuangan ini akan diteruskan,” katanya.