Bolehkah beruang dan anjing berkawan? Seekor beruang hitam memecah masuk ke laman sebuah rumah. Beruang itu dilihat begitu gembira berkejaran dan bergurau senda dengan anjing pengawal German shepherd. Namun dari kejauhan pemilik anjing tersebut sebenarnya sedang gementar.

Media luar negeri melaporkan bahawa pada suatu hari Jenn Sargent, seorang wanita di Vermont, USA yang sedang memasak di rumahnya ketika itu menerima panggilan kecemasan daripada jirannya.
Jirannya yang tergamam dengan kejadian di depan matanya itu terus memberitahu Jenn bahawa seekor beruang hitam telah memecah masuk ke laman Jenn. Lebih mengejutkan lagi adalah beruang tersebut dilihat sedang bermain dengan anjing peliharaan Jenn yang dipanggil “Jameson”.
Dengan pantas, Jenn terus melihat rakaman daripada kamera litar tertutup. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat beruang hitam yang besar sedang berlari-lari dengan anjing pengawalnya. Peliknya, kedua-dua haiwan tersebut bukannya bergaduh, tetapi bermain bersama.

Jenn melihat Jameson menggerak-gerakkan ekornya tanda gembira sambil berlari mengelilingi beruang hitam tersebut. Haiwan-haiwan itu dilihat berkejaran dengan begitu riang sekali seolah-olah sudah lama kenal.
Beruang hitam itu dianggarkan seberat 70 kilogram. Dengan saiz dan berat seperti itu pasti sedikit sebanyak menggugat ketenteraman manusia dan haiwan lain, namun tiada perkara buruk yang berlaku. Bukan sahaja tidak mencederakan anjing pengawal itu, bahkan beruang berkenaan juga tidak merosakkan harta benda mahupun tumbuh-tumbuhan di laman tersebut.
Menurut Jenn ibu kepada dua orang cahaya mata itu, perkara yang lebih mengejutkannya ialah tindak-tanduk Jameson yang dilihat begitu mesra dengan beruang tersebut. Ini kerana selama ini, anjingnya itu tidak mesra dengan manusia lain. Malah Jameson cukup serius mengawasi rumah, jadi dia berasa pelik tatkala melihat telatah anjing peliharaannya yang cukup mesra itu dengan beruang berkenaan.

Melihat kembali rakaman tersebut, Jenn terhibur dan dalam masa yang sama berasa lega kerana tiada yang cedera baik anjingnya mahupun beruang.
Jenn juga bersyukur kerana pada waktu itu anak-anaknya tidak bermain di luar rumah. Ini kerana, beruang memang berkeliaran di kawasan perumahan mereka tetapi tidaklah seberani dan semesra itu.
Pilihan Editor: