Lebih kurang enam buah kereta mengalami kerosakan akibat tangki pecah di Taman Mas Puchong yang berlaku pada 7.40 malam Khamis lalu. Tangki pecah yang terletak di blok A, Apartment Penaga Mas itu memperlihatkan air mencurah-curah seperti air terjun yang begitu deras sekali.
Kejadian itu sempat dirakam dan dikongsikan oleh pengguna TikTok @ameiraaaa. Menerusi video berdurasi kurang lima minit itu, kelihatan beberapa kenderaan yang diletakkan di perkarangan pangsapuri terkena curahan air deras tersebut.
Selepas beberapa minit, curahan air tangki itu berhenti dan orang ramai mula berkumpul di perkarangan pangsapuri. Akibat daripada curahan air tangki itu, enam kenderaan mengalami kerosakan teruk seperti cermin hadapan pecah, bumbung dan bahagian bonet kemek.
Rata-rata netizen yang melihat video tersebut mengucapkan takziah dan melahirkan rasa simpati kepada semua mangsa yang terlibat.
Difahamkan rupa-rupanya kejadian tersebut bukanlah pertama kali berlaku. Ini kerana, seorang mangsa menceritakan pengalamannya yang pernah berhadapan dengan kejadian tangki pecah di pangsapuri yang sama pada tahun 2016. Menurutnya, semua barang di dalam rumahnya rosak dan rumahnya di tingkat sembilan itu turut banjir ketika tangki yang terletak di tepi rumahnya itu pecah.
Menurut ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof, serpihan tangki air tersebut turut terjatuh dan menimpa kenderaan di bawah blok pangsapuri itu. Walau bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku.
Ekoran kejadian itu, lori tangki air dari Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Selangor Air) dihantar untuk membekalkan air bersih kepada 172 buah rumah yang terjejas.
Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) Selangor turut memberi sumbangan berupa 100 karton air mineral untuk keperluan memasak dan minuman pada mangsa yang terjejas. Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata, bantuan awal tersebut diberikan sebelum pihak bertanggungjawab melakukan siasatan.
Diharapkan semua mangsa yang terlibat bersabar dengan ujian yang menimpa dan semoga pihak bertanggungjawab menzahirkan rasa simpati dengan membayar ganti rugi yang sewajarnya kepada mereka.
Pilihan Editor: