Seorang bapa didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini selepas mengaku bersalah mendera anak kandungnya yang berusia tujuh tahun antara Ogos hingga September lalu.
Tertuduh, Tan Chung Jian, 29 mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Selain itu, hakim turut mengarahkan tertuduh dikenakan bon jaminan sebanyak RM10,000 bagi memastikan dia berkelakuan baik dalam tempoh dua tahun.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan penganiayaan terhadap anak lelakinya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal. Tertuduh didakwa mendera anaknya itu di rumah mereka yang terletak di Taman Desa Jaya 2, Sungai Petani antara Ogos hingga September lalu.
Tertuduh yang bekerja di sebuah kilang memproses ikan bilis itu didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 20021 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzly Hassan manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.
Sebelum dijatuhkan hukuman, tertuduh membuat rayuan atas sebab dia perlu menyara ibu bapanya yang telah tua selain seorang isteri dan anak kerana pendapatannya sebagai pekerja kilang tidak mencukupi.
Terdahulu, tertuduh menjalani reman selama enam hari yang berakhir pada 27 September lalu. Kemudian Majistret Nur Fadzlina Musa mengeluarkan perintah tahanan sambung reman selama lima hari lagi ke atas tertuduh. Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, tempoh reman tersebut dilanjutkan bagi membolehkan pihaknya melengkapkan siasatan kes tersebut.
Menurut laporan yang dikongsikan oleh kumpulan berita tempatan sebelum ini, tindakan seorang murid darjah satu sebuah sekolah di sini yang memakai jaket di sekolah mengundang tanda tanya seterusnya membawa kepada pembongkaran kejadian didera bapa kandung sejak dua bulan lalu.
Pemeriksaan yang dilakukan ke atas mangsa mendapati terdapat kesan kemerah-merahan pada wajah kanak-kanak lelaki tersebut.
Mangsa dipercayai dipukul bapanya kerana terdapat kesan calar pada seluruh badan, selain siku bengkak, telinga luka, bibir lebam dan terkoyak.
Pilihan Editor: