Baru-baru ini, penduduk Impian Villa Taman Seri Impian, Kluang, Johor diperingatkan agar berhati-hati ekoran kehadiran gajah liar di kawasan perumahan tersebut. Gajah liar itu dirakam sedang berkeliaran di kawasan perumahan tersebut pada waktu malam. Melalui rakaman video itu, seekor gajah dilihat menghampiri pintu pagar rumah namun tidak merosakkannya.
Penduduk di situ mempercayai bahawa gajah tersebut datang ke situ kerana hendak mencari makanan.
Susulan kejadian tersebut, terdapat perkongsian lain daripada orang ramai mengenai kehadiran gajah di kawasan perumahan mereka.
Selain itu, ada di antara mereka yang terserempak dengan gajah di jalan raya Kota Tinggi – Kluang berdekatan persimpangan lampu isyarat KFC Taman Seri Impian.
Gajah tersebut dilihat sedang melintas jalan dan menuju ke hutan. Orang ramai yang melalui jalan tersebut dinasihatkan agar berhati-hati ketika memandu lebih-lebih lagi jika terserempak dengan gajah.
Terdapat perkongsian lain contohnya daripada penduduk Fasa 7 Taman Seri Impian. Seperti yang dapat dilihat, gajah sedang berkeliaran di kawasan perumahan tersebut.
Rata-rata netizen berpendapat bahawa gajah tersebut datang hanya untuk mencari makanan disebabkan habitat asalnya telah dimusnahkan oleh manusia.
Pendapat netizen itu ada benarnya apabila pihak Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) memaklumkan bahawa bau umbut kelapa sawit yang diracik dan laluan yang diganggu dengan pembinaan parit serta pagar dipercayai menjadi punca sekawan empat gajah liar tersesat memasuki kawasan penduduk di Taman Seri Impian satu ketika dahulu.
Menurut laporan yang ditulis oleh Berita Harian, Pengarah PERHILITAN Johor, Aminuddin Jamin berkata, “Kawanan gajah tersesat itu kini sudah bergerak ke sebelah kawasan hutan berhampiran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).”
Katanya lagi, PERHILITAN tidak mempunyai kuasa untuk melarang pemilik ladang daripada melakukan proses meracik. Ini kerana aktiviti pelupusan secara pembakaran pokok kelapa sawit adalah tidak dibenarkan.
Walau bagaimanapun, pemilik ladang dinasihatkan agar mengambil langkah sewajarnya termasuklah membuat kawalan supaya gajah berkenaan tidak memasuki penempatan penduduk.
Menurut Aminuddin lagi, pihaknya sudah maklum akan kejadian gajah berkeliaran di kawasan penempatan penduduk di sekitar daerah Kluang.
Selain berusaha mengambil pelbagai langkah proakti termasuk memindahkan gajah dan melaksanakan tugasan renjer hutan pada waktu siang dan malam demi keselamatan orang ramai, pihaknya juga sudah mengadakan mesyuarat dengan pemilik ladang sekitar Taman Seri Impian bagi mencari jalan terbaik supaya haiwan tersebut tidak memasuki kawasan perumahan penduduk.
Tambah Aminuddin lagi, berikutan aktiviti pembersihan ladang kelapa sawit untuk proses penanaman semula itu, pihaknya menjangkakan kehadiran gajah akan berlaku sehingga proses berkenaan selesai.
Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati terutamanya apabila terserempak dengan gajah.
Pilihan Editor: