Baru-baru ini, seorang wanita bernama Liu Hui dari Jiangxi, China berkongsi kepada umum bahawa dia memperoleh 6000 yuan (RM3900) sebulan dengan hanya memelihara dua ekor kucing majikannya.

Menurut laporan yang ditulis oleh Sina, ketika Liu sedang mencari kerja pada bulan Ogos lalu, dia terlihat iklan jawatan kosong bahagian pentadbiran di sebuah syarikat di Hangzhou yang tidak memerlukan pengalaman terdahulu.
Selepas memohon jawatan tersebut, dia diberitahu bahawa beban kerja tersebut sangat kecil dan tugas utama yang sebenarnya ialah memelihara dua ekor kucing majikannya.
Kucing-kucing tersebut tinggal di pejabat dan setiap seekor kucing mempunyai bilik berasingan dengan keluasan 20 hingga 30 meter persegi. Majikan Liu Hui sangat menyayangi kucing-kucingnya dan sering menziarahi mereka sama ada selepas dia pulang daripada lawatan perniagaan ataupun pada hujung minggu.
“Saya dipertanggungjawabkan untuk memberi makan kepada kucing-kucing itu, menukarkan air, memotong kuku, membuang najis dan sebagainya. Saya bekerja dari jam 9 pagi hingga 5 petang, setiap hari termasuk hujung minggu,” kata Liu.
Menurut Liu, dia akan memperoleh gaji sebanyak 6000 yuan (RM3900) selepas disahkan sebagai pekerja tetap syarikat berkenaan.
Memandangkan pekerjaan tersebut tidaklah begitu sukar, Liu yakin bahawa dia boleh bekerja lama dengan syarikat tersebut.
Lagi pula, Liu sebenarnya memang sukakan kucing! Jadi, pekerjaan ini dianggap sebagai pekerjaan impiannya. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, apabila Liu akhirnya dapat memelihara kucing walaupun hanya sebagai pemelihara kucing majikannya.

Jika anda hendak memelihara kucing buat pertama kali, berikut adalah tips yang boleh anda ikuti agar kucing tersebut sihat dan dapat dipeliihara dengan mudah:
- Jangan terlalu banyak memberi makanan kering kepada kucing.
- Berikan air minuman yang secukupnya kepada kucing.
- Sediakan kotak pasir dan bersihkan pasir tersebut dengan kerap.
- Mengasi kucing adalah lebih baik agar terjaga kesihatannya.
- Pilih doktor haiwan yang peramah.
Buat pecinta kucing di luar sana, pasti anda pun akan merebut peluang jika ditawarkan pekerjaan seperti ini bukan? Duit dapat, bermain dengan kucing pun dapat.
Pilihan Editor: