30.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024
UtamaBerita Utama11 tajuk berita yang lucu tetapi sebenarnya menyampaikan berita penting

11 tajuk berita yang lucu tetapi sebenarnya menyampaikan berita penting

Penulis adalah antara orang yang paling banyak menggunakan otak kerana dia perlu memikirkan sesuatu yang unik atau lain daripada kebiasaan demi menarik minat pembaca. Pelbagai idea yang difikirkan dan ada kalanya lucu dan seperti tidak masuk akal. Berikut adalah antara tajuk berita yang lucu tetapi sebenarnya menyampaikan berita penting.

1. Beruang memecah masuk ke sebuah rumah dan bermain piano tetapi sumbang bunyinya.

THE WASHINGTON POST

Katie Hawley tidak berada di rumah ketika seekor beruang hitam berkeliaran di dalam rumahnya di Vail, Colo.,. Katie tidak sengaja membiarkan tingkap dapur rumahnya tidak berkunci dan menyebabkan beruang tersebut boleh membuka tingkap dan memecah masuk ke rumahnya.

Melihatkan keadaan dapurnya yang sedikit bersepah, polis mengatakan itu bukan perbuatan manusia, tetapi beruang. Katie tidak mempercayainya sehinggalah dia melihat sendiri rakaman CCTV di rumahnya. Selepas melihat rakaman tersebut, barulah dia percaya beruang yang sering dilihat di luar rumahnya kini telah memasuki rumah disebabkan terdapat tingkap yang tidak dikunci.

Katie berpendapat beruang itu comel apatah lagi sempat menekan piano walaupun mengeluarkan bunyi yang sumbang, tetapi apabila teringat ia pernah masuk ke dalam rumah itu agak menakutkan dia.

2. Dua lelaki warga emas melarikan diri daripada rumah penjagaan untuk menghadiri majlis heavy metal terbesar di dunia.

INDEPENDENT

Menurut laporan media Jerman, dua orang warga emas di’jemput’ pulang oleh polis selepas mencuri keluar daripada rumah penjagaan untuk menghadiri majlis heavy metal terbesar di dunia.

Kakitangan rumah penjagaan tersebut menghubungi polis sebaik sahaja menyedari dua lelaki warga emas yang merupakan penghuni rumah tersebut hilang.

Ketika ditemui pada jam 3 pagi, jurucakap polis Merle Neufeld menyifatkan kedua-dua lelaki warga emas itu bingung dan terpinga-pinga. Mujurlah tiada apa-apa kecederaan yang berlaku.

3. Lelaki tempatan lumpuh selepas makan 413 keping nugget.

REDDIT

Satu hantaran mengenai lelaki tempatan lumpuh selepas makan 413 keping nugget tular di Reddit. Dikatakan lelaki tersebut Anthony Thomas, 25 dikejarkan ke hospital dengan menaiki ambulans kerana lumpuh selepas makan 413 keping nugget.

Pada hari kejadian, Anthony yang sedang makan tengah hari di McDonald memutuskan untuk memecahkan rekod peribadinya yang sebelum ini berjaya menghabiskan 200 keping nugget dalam masa satu jam. Dia mahu menggandakan pencapaian tersebut walaupun perbuatan tersebut memudaratkannya.

Menurut ibunya, Anthony sentiasa mencuba untuk memecahkan rekod peribadinya namun dia tidak menyangka anaknya akan bertindak sejauh itu. Dia bergegas ke hospital bukan sahaja untuk melihat keadaan anaknya itu malah untuk mengucapkan tahniah atas kejayaan memecahkan rekod dan kerana umur anaknya itu masih panjang.

Ada netizen yang bergurau dengan mengatakan, itu bermaksud had makan nugget adalah 412 keping.

4. Seorang lelaki yang kerap menerima hadiah kerana memberitahu 35 wanita tarikh hari lahir yang berbeza ditangkap di Jepun kerana menipu.

DAILYMAIL

Takashi Miyagawa, 39 ditangkap di Jepun kerana didapati menipu dan berpura-pura serius dalam perhubungan dengan 35 wanita pada masa yang sama dan menerima pelbagai hadiah yang mahal-mahal daripada wanita-wanita tersebut.

Takashi yang berasal dari wilayah Jepun di Kansai merupakan seorang pekerja sambilan dan tidak mempunyai tempat tinggal tetap telah memberitahu tarikh lahirnya yang berbeza-beza kepada setiap wanita tersebut.

Namun, perbuatan terkutuk itu akhirnya terbongkar dan wanita-wanita tersebut bekerjasama untuk melaporkan Takashi kepada polis.

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

5. Lelaki tidak datang bekerja selama enam tahun dan tiada siapa yang menyedarinya hinggalah dia memenangi anugerah.

HUFFPOST

Selama enam tahun, Joaquin Garcia, 69 yang merupakan seorang penyelia bangunan di Sepanyol secara senyap-senyap menerima gaji sebanyak $41,500 daripada kerajaan tempatannya walaupun tidak hadir di tempat kerja.

Menurut timbalan datuk bandar Jorge Blas, ketidakhadiran Garcia hanya disedari selepas dia diberikan anugerah di atas kesetiaannya bekerja selama 20 tahun. Ujar Blas kepada akhbar Sepanyol, dia tertanya-tanya sama ada Garcia masih bekerja di sana, adakah dia telah bersara atau telah meninggal dunia, tetapi senarai gaji menunjukkan Garcia masih menerima gaji.

Selepas salah laku tersebut terbongkar, Garcia bersara dan membuat petisyen kepada timbalan datuk bandar agar dia terlepas daripada membayar denda maksimum yang dikenakan kepada pegawai kerajaan sebanyak $30,000 dan penghakiman tersebut dikaji semula.

6. Uji dan curi: Pencuri memotong rumput di bahagian hadapan dan belakang rumah pemilik sebelum mencuri pemotong rumput.

TIMES NOW

Menurut polis, melalui rakaman video keselamatan, lelaki yang dikenali sebagai Marcus Hubbard itu dilihat menceroboh masuk ke sebuah kediaman dan mengambil pemotong rumput dari taman hadapan tanpa kebenaran tuan rumah. Dia kemudiannya dilihat memotong rumput di perkarangan rumah untuk menguji sama ada pemotong rumput tersebut masih berfungsi atau tidak.

Marcus kemudiannya berlari sambil membawa pemotong rumput apabila menyedari pegawai polis tiba di kawasan kejadian.

Marcus yang juga memiliki waran tangkap kerana pernah menceroboh masuk bangunan sebelum ini telah meninggalkan pemotong rumput tersebut di lorong kerana bimbang tertangkap oleh polis yang mengejarnya.

7. Penyeluk saku mencuri duit polis wanita semasa dalam tahanan. (ini mungkin makna frasa ‘saya boleh bekerja dalam keadaan tertekan’.

MOJI DELANO

Suspek, Deji Ayoola yang ditahan oleh pasukan Skuad Tinda Balas Pantas (RRS) kerana menyeluk saku membuktikan keberaniannya sekali lagi dengan mencuri wang berjumlah N1200 semasa disoal siasat di ibu pejabat RRS di Alausa.

Deji dengan pantas mengambil wang yang terjatuh daripada poket polis wanita ketika polis itu mengeluarkan telefon bimbit daripada poketnya.

Tanpa diketahui, kelakuan keji Deji itu sebenarnya disedari oleh suspek lain yang turut berada semasa sesi soal siasat dijalankan. Suspek berkenaan terus memberitahu polis wanita itu bahawa wang yang dicari-carinya itu ada pada Deji.

8. Suami menceraikan isterinya selepas terlihat isterinya berpelukan dengan lelaki lain di Google Maps.

DAILY MAIL

Seorang lelaki menceraikan isterinya selepas terlihat isterinya berpelukan dengan lelaki lain di Google Map ketika dia mencari cara paling mudah untuk pergi ke jambatan terkenal di Lima, Peru.

Setelah memastikan bahawa wanita yang berjaket putih bersama lelaki yang baring diribanya itu adalah isterinya, si suami dengan marah menunjukkan bukti kecurangan tersebut kepada isterinya. Isterinya mengaku bahawa dia pernah menjalinkan hubungan sulit.

Menurut media tempatan, pasangan yang tidak didedahkan maklumat peribadi itu akhirnya bercerai. Untuk rekod, gambar yang berada di Google Map itu adalah pada tahun 2013, manakala penemuan tidak sengaja suami berkenaan kecurangan isterinya itu adalah pada tahun 2018.

9. Google mengesahkan internet global sedang diserang oleh jerung.

SLATE

Sebenarnya tidak jelas mengapa jerung tertarik sekali gus menyerang kabel yang terletak di dasar laut. Namun dikatakan disebabkan jerung boleh mengesan kehadiran elektromagnet, jadi berkemungkinan atas sikap ingin tahu, jerung tertarik pada kabel tersebut dan menyerang dengan cara menggigit.

Gigitan jerung yang kuat itu boleh mendatangkan masalah sebenar. Laporan Program Alam Sekitar PBB 2009 mendapati ikan termasuk jerung, mempunyai sejarah menggigit kabel. Mereka menemukan gigi jerung tertanam dalam sarung kabel.

Ikan Barracuda, jerung cetek dan dalam dan lain-lain ikan telah dikenal pasti sebagai punca kabel rosak.

10. Lelaki Florida menyerang pemandu dengan pisau ketika pergelutan di jalan raya, mangsa mengeluarkan pistol.

FOX 35

Rafael Rivera ditahan polis selepas dia didapati bersalah menggunakan senjata tajam ketika berlaku pergelutan di jalan raya. Menerusi video rakaman, Rivera dilihat memulakan pergelutan dengan menghunus pisau pada penunggang motosikal. Tanpa diduga, mangsa mengeluarkan pistol dan mengacunya ke arah Rivera.

Takut dengan situasi tersebut, Rivera menghubungi polis dan mengatakan ada orang yang mengacukan pistol kepadanya. Kedua-dua lelaki tersebut ditahan polis dan kejadian disiasat.

Namun setelah meneliti video rakaman tersebut, Rivera ditahan polis. Untuk rekod, Rivera pernah ditangkap sebelum ini berikutan kes jenayah yang dia lakukan seperti kecurian besar-besaran dan lain-lain.

11. Selepas meneran begitu kuat ketika membuang air besar, wanita hilang 10 tahun ingatan.

NOC

Seorang wanita Hong Kong yang tidak didedahkan namanya, didakwa hilang 10 tahun ingatan selepas meneran begitu kuat ketika membuang air besar akibat sembelit. Selepas membuang air besar, wanita itu dilihat tidak seperti selalu dan dia seolah-olah hidup pada masa lalu.

Kejadian tersebut berlaku selama lapan jam sebelum dia kembali normal. Bimbang dengan situasi tersebut, keluarga wanita berkenaan membawanya berjumpa doktor, namun doktor mengatakan tiada perkara serius yang menimpa wanita kurang bernasib baik itu.

Menurut doktor, tekanan yang kuat ketika meneran akan menyebabkan bekalan oksigen kurang mengalir ke otak lantas menyebabkan berlakunya kehilangan ingatan jangka pendek.

Pilihan Editor:

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

- Advertisment -

Pengasas Falun Gong: Mengapa Wujudnya Manusia

Falun Gong Founder Mr. Li Hongzhi Publishes ‘How Humankind Came To Be’ 法輪功創始人發表《為甚麼會有人類》 Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi...

Pengasas Falun Gong: Mengapa Pencipta Berusaha Menyelamatkan Segala Makhluk

Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi dan latihan lembut dengan falsafah moral yang berdasarkan prinsip Sejati, Baik,...
spot_img

TREN TERKINI