Tidak dinafikan agar sukar sebenarnya untuk memastikan cukai jalan kenderaan sentiasa dalam keadaan baik kerana jika tidak dikendalikan dengan betul, ia akan mudah rosak. Ada ketikanya pula, sekeping kertas yang nipis itu boleh hilang akibat tersalah letak. Namun usah risau kerana anda masih boleh mendapatkan penggantian cukai jalan yang rosak atau hilang. Berikut adalah panduan untuk mendapatkan semula cukai jalan yang rosak atau hilang yang ditulis dan dikongsikan oleh anisssurayaaa di Twitter.

- Pergi ke mana-mana cawangan JPJ yang berhampiran dengan anda.
- Isi borang JPJ K7 (Borang Permohonan Salinan / Gantian Perakuan Pendaftaran Kenderaan atau Salinan / Gantian Lesen Kenderaan Motor atau Salinan lesen Perdagangan Kenderaan Motor).
- Hantar borang yang sudah dilengkapkan di kaunter dan tunjukkan kad pengenalan anda.
- Untuk makluman, bagi penggantian cukai jalan yang rosak anda akan dikenakan denda, manakala penggantian cukai jalan yang hilang pula adalah percuma.
Denda bagi penggantian cukai jalan motosikal yang rosak:
- Semenanjung: RM20
- Sabah: RM25
- Sarawak: RM20
Denda bagi penggantian cukai jalan kereta dan kenderaan lain yang rosak:
- Semenanjung: RM50
- Sabah: RM25
- Sarawak: RM20
Berikut adalah soalan lazim mengenai cara untuk mendapatkan semula cukai jalan yang rosak atau hilang:
- Soalan: Sekiranya pemilik kenderaan tidak dapat hadir, bolehkah digantikan dengan wakil?
Jawapan: Boleh, dengan syarat wakil perlu membawa salinan kad pengenalan pemilik kenderaan, salinan geran kenderaan, salinan kad pengenalan wakil, borang JPJ K7 yang telah lengkap diisi. - Soalan: Bolehkah permohonan penggantian cukai jalan kenderaan dibuat secara dalam talian?
Jawapan: Tidak boleh. Pemohon perlu membuat permohonan terus di pejabat atau cawangan JPJ yang berhampiran.
Jika anda kehilangan cukai jalan atau cukai jalan itu rosak, segeralah membuat permohonan penggantian cukai jalan tersebut.