Bubur Asyura boleh dikatakan menu wajib apabila tibanya 10 Muharram di mana umat Islam akan menyediakan sajian ini sebagai tanda Hari Asyura. Pada asasnya, Bubur Asyura adalah masakan campuran pelbagai bahan seperti beras, kekacang, daging dan sebagainya. Namun, setiap negeri di Malaysia mempunyai resipi Bubur Asyura dengan keunikan masing-masing. Kali ini, kita akan mempelajari resipi Bubur Asyura versi Utara yang dikatakan sungguh memikat jiwa dan sekali cuba pasti nak lagi!

Bahan-bahan A. (Semua bahan A ini perlu dicampurkan dan ditapis terlebih dahulu agar tidak terdapat ketulan tepung)
- 1 cawan tepung beras
- 1 cawan gula merah
- 3/4 cawan gula
- 5 cawan santan (2 kotak kecil santan dicampurkan dengan air)
- 1/2 sudu garam
Bahan-bahan B. (Semua bahan B ini perlu direbus terlebih dahulu)
- 1 cawan kacang hijau
- 1/2 cawan kacang tanah
- 1 cawan jagung atau lobak merah
- Sebiji keledek
Bahan C.
- 6 biji pisang masak dipotong-potong
Cara-cara untuk memasak Bubur Asyura versi Utara ialah:
- Campur bahan-bahan A ke dalam satu bekas. Kemudian, masukkan bahan A ke dalam kuali atau periuk dan masak dengan api sederhana sehingga pekat.
- Masukkan bahan B dan kacau hingga sebati dan adunan menjadi likat. Tambahkan pisang yang telah dipotong-potong tadi.
- Apabila semua bahan sudah sebati, tutup api.
- Masukkan ke dalam bekas dan biarkan sejuk.
- Sedia untuk dimakan.

Tidak susah pun untuk memasak Bubur Asyura ini rupanya.
Petua untuk mempercepatkan kekacang tersebut empuk ketika direbus, ialah anda bolehlah merendam semalaman kekacang tersebut. Pasti kekacang akan cepat empuk. Dan kalau nak tahu kacang sudah empuk ke belum, picitkan sedikit kacang itu.
Selain itu, anda juga boleh mengisar bahan-bahan A terlebih dahulu sebelum memasaknya, bancuhan bahan-bahan tersebut akan menjadi lebih halus. Kemudian, tapis seperti biasa.
Bubur Asyura versi Utara ini enak dimakan sama ada ketika ia masih panas atau pun sudah sejuk. Jika anda suka makan sejuk-sejuk, simpan bubur di dalam peti sejuk.
Selamat mencuba!