Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan salah satu peperiksaan paling penting yang perlu dilalui oleh pelajar kerana apabila tamat, ia menyediakan laluan untuk pelajar melangkah ke peringkat pengajian tinggi di mana mereka memilih jurusan yang diingini sebelum memperoleh diploma atau ijazah.
Tetapi keadaan terkini telah berubah, dan sebilangan anak muda tidak lagi menunjukkan keinginan untuk melanjutkan pengajian selepas tamat SPM.
Menurut laporan China Press, 390,000 lepasan SPM atau 72.1 peratus tidak menyatakan mereka berhasrat atau berminat untuk menyambung pelajaran selepas peperiksaan SPM.

Perlu diingat, peratusan itu diperoleh daripada tinjauan pelajar SPM dalam kelas 2019, justeru angka itu mungkin akan meningkat untuk kelas 2020 dan 2021.
Lebih berminat menjadi ‘influencer’ dan ‘rider’
Jika mereka tidak berhasrat untuk melanjutkan pelajaran, apakah yang ada dalam fikiran mereka sebenarnya? Berikut ialah tiga pilihan utama yang mereka cenderung untuk melangkah:

- Pemandu e-hailing
- ‘Rider’ penghantar makanan
- ‘Influencer’ di media sosial
Zaman hari ini benar-benar berubah. Sedekad yang lalu, pilihan ini tidak termasuk dalam senarai pilihan kerjaya.

Hari ini pekerjaan tersebut begitu mudah menjana pendapatan.
Seorang pensyarah sebuah universiti di Perlis memberitahu Utusan Malaysia, kurangnya minat belia untuk melanjutkan pelajaran kebanyakannya berpunca daripada sebab-sebab berikut:
- Pengaruh media sosial.
- Lebih banyak peluang dalam talian.
- Pemikiran mempunyai keputusan peperiksaan yang baik tidak menjamin memiliki kerjaya yang baik.

“Kebanyakan daripada mereka percaya lebih mudah untuk memohon pekerjaan melalui media sosial, dan mereka boleh mendapat bayaran sama banyak atau lebih banyak daripada mereka yang mempunyai kelayakan akademik yang lebih tinggi,” tambah pensyarah itu.
Bukan itu sahaja, pensyarah berkenaan juga percaya cabaran dan kesulitan mencari pekerjaan walaupun berkelulusan ijazah telah menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan pendidikan dan terus mencari lebih banyak peluang kerjaya.

Beliau berkata, apabila memohon pekerjaan, majikan bukan sahaja mengambil berat tentang gred dan kemahiran graduan tetapi juga menekankan potensi personaliti.
Pensyarah itu juga berkata pelajar perlu memperbaiki diri termasuk kepimpinan, integriti, ketahanan, profesionalisme, keyakinan diri dan tanggungjawab.