Penduduk Klang dikejutkan dengan pemandangan luar biasa pada pagi 29 Jun lalu apabila Sungai Chandong bertukar warna ke merah jambu semalaman.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam pada lewat petang Rabu, 29 Jun.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri Hee Loy Sian dalam satu kenyataan berkata tinjauan dan semakan mendapati warna air sungai kembali normal selepas air pasang.
Ini menyebabkan mereka percaya air sungai itu telah dicemari pada awal pagi.

Pembuangan sisa haram di kawasan perindustrian Pulau Indah, Klang, disyaki menjadi punca air sungai tercemar.
“Cecair berwarna merah itu dipercayai dilepaskan ke dalam longkang dan dialirkan ke kawasan tadahan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) seterusnya memasuki Sungai Chandong,” kata Hee.

Anggaran jarak longkang tersebut ke lokasi pencemaran adalah sekitar 1.32 kilometer.

Pasukan penyiasat LUAS telah mengambil sampel air untuk analisis lanjut di makmal bagi mengenal pasti kualiti dan kandungan pencemaran.

Katanya, pihak LUAS juga akan memantau dengan rapi kualiti air bagi memastikan sumber air di Selangor terpelihara dengan baik.
Sementara itu, LUAS juga sedang berusaha mencari suspek yang menyebabkan pencemaran air tersebut.

Kerajaan negeri Selangor berkata mereka tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras dengan peruntukan Enakmen LUAS 1999.

Pihak berkuasa juga menggesa mereka yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti tersebut supaya melaporkan kepada LUAS supaya tindakan segera dapat diambil.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: