31.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 28, 2022
Utama Berita Utama i-SARAAN caruman sukarela bagi ahli yang bekerja sendiri dan pekerja berpencen

i-SARAAN caruman sukarela bagi ahli yang bekerja sendiri dan pekerja berpencen

“Wah, seronoklah kau, permohonan pengeluaran khas KWSP RM10,000 itu dah berjaya! Alangkah bagusnya kalau aku pun pencarum seperti kau. Aku bekerja sendiri, tiada caruman,” luah Daniel kepada Fariz selepas rakannya itu mengucapkan rasa syukur kerana lulus permohonan pengeluaran khas tersebut. Sambil menanti hujan teduh mereka menikmati moreh yang disediakan.

“Eh, kau pun boleh mencarum kerana KWSP ada sediakan i-SARAAN, jaminan persaraan dengan caruman sukarela.” kata Fariz sambil membetulkan duduknya.

“Apa maksud kau? Bagaimana hendak mencarum?” soal Daniel dengan teruja. Sambil membawa sepiring karipap dan secawan air teh panas, dia menghampiri Fariz untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai i-SARAAN tersebut.

i-SARAAN ini adalah Caruman Sukarela dengan Insentif Persaraan yang membolehkan ahli yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap untuk membuat caruman sukarela untuk tujuan persaraan, dan pada masa yang sama menerima caruman tambahan daripada pihak kerajaan. Berdasarkan risalah ini, kau layak untuk mendaftar i-SARAAN,” kata Fariz sambil menunjukkan risalah i-SARAAN yang dimuat turun daripada laman sesawang rasmi KWSP.

KWSP

Selepas meletakkan cawan berisi air kopi panas yang baharu dihirupnya itu, Fariz berkata, “Untuk makluman kau, ahli i-SARAAN akan menerima manfaat seperti dividen tahunan, bantuan kematian, pelepasan cukai dan insentif khas seperti:

  • Ahli i-SARAAN mendapat insentif khas sebanyak 15% setahun tertakluk kepada jumlah maksumum RM250 setahun.
  • Insentif khas ini hanya untuk sepanjang tempoh yang ditetapkan oleh kerajaan.
  • Insentif ini terhad kepada ahli yang berumur 60 tahun ke bawah sahaja dan dikrediktkan ke dalam Akaun 1 iaitu akaun persaraan.

Bagus tindakan kerajaan dalam memelihara kebajikan orang yang bekerja sendiri seperti kau. Sekurang-kurangnya, waktu bersara nanti kau ada simpanan sendiri”.

Daniel menganggukkan kepala sambil matanya ralit membaca risalah i-SARAAN tersebut. Aiman yang baru selesai bertadarus datang menghampiri lalu menyapa mereka. “Daniel, kau baca apa? Tekun betul!” tegur Aiman.

“Aku sedang membaca berkenaan i-SARAAN. Aku bercadang untuk mendaftar. Kau sudah mendaftar?” balas Daniel sambil menghirup air teh panas.

“Oh, i-SARAAN. Aku sudah mendaftar awal tahun lepas. Ada 2 cara pendaftaran i-SARAAN iaitu melalui pendaftaran dalam talian atau isi borang KWSP 16 G (M) dan hantar ke mana-mana cawangan KWSP yang berhampiran secara serahan tangan.

Mudah sahaja cara pendaftarannya. Mari aku tunjukkan cara cara pendaftaran i-SARAAN secara dalam talian,” Aiman menawarkan diri untuk menunjukkan cara mendaftar i-SARAAN kepada Daniel. Dia mengambil tempat di sebelah Daniel dan mula menatal skrin telefon pintarnya.

“Masuk laman sesawang rasmi KWSP, klik Ahli kemudian klik Caruman. Kau akan lihat caruman wajib dan caruman sukarela. Pilih i-SARAAN di bahagian caruman sukarela.

KWSP

Kemudian, isikan nombor kad pengenalan. Di bahagian profesion, pilih pekerjaan kau. Jika tiada dalam senarai, pilih lain-lain dan nyatakan jenis pekerjaan. Kau kena pastikan borang ini lengkap diisi. Akhir sekali tekan butang ‘Hantar’. Itu sahaja.

KWSP

Oh, ya. Selepas kau hantar permohonan itu, kau akan menerima notifikasi seperti ini,” Terang Aiman dengan panjang lebar sambil menunjukkan pendaftaran yang berjaya dihantarnya secara dalam talian dahulu.

Daniel menganggukkan kepalanya tanda faham. “Mudahnya pendaftaran i-SARAAN ini. Syarat kelayakan pun tidak ketat. Pemohon mestilah:

  • Warganegara Malaysia
  • Mendaftar sebagai Ahli KWSP
  • Belum mencapai umur 60 tahun
  • Individu yang bekerja sendiri atau tiada pendapatan tetap seperti pemandu teksi, penjaja, nelayan, perunding bebas, suri rumah atau kakitangan kerajaan yang bertaraf pencen
  • Boleh mencarum apa-apa amaun, pada bila-bila masa

Yang penting ahli i-SARAAN boleh membuat pembayaran melalui:

  • Perbankan internet (pemindahan wang secara elektronik) seperti RHB, Bank Muamalat, Bank Islam, Hong Leong Bank dan beberapa bank lain.
  • Kaunter Ejen Bank seperti BSN, Maybank, Public Bank dan RHB Bank. Bayaran tunai dan cek tidak diterima. Hanya penggunaan pembayaran melalui Kad Debit dan Pindahan Debit sahaja diterima.
  • Kaunter KWSP dengan menggunakan Borang KWSP 6A (2)
  • Ejen Bank Berdaftar (EBB) BSN
  • i-Akaun (Majikan) bagi majikan sektor ekonomi gig.

Daniel membaca kuat risalah i-SARAAN dengan penuh minat. Matanya bercahaya, dia dapat membayangkan kehidupan yang lebih terjamin pada hari tuanya nanti. “Aku dapat rasakan hari tua aku nanti lebih terjamin dengan adanya i-SARAAN ini,” tambah Daniel.

“Betul. Sebelum ini aku pun tidak tahu mengenai i-SARAAN. Isteri aku yang menunjukkan borang KWSP 16 G (M) kepadaku. Waktu itu dia pergi ke KWSP untuk melihat jika ada insentif lain untuk suri rumah. Pegawai KWSP yang menerangkan kepadanya tentang i-SARAAN ini. Selepas mengisi borang, borang tersebut hendaklah dihantar secara serahan tangan ke mana-mana cawangan KWSP yang berhampiran. Kalau kau hendak muat turun borang ini pun boleh juga. Borang itu ada di laman sesawang rasmi KWSP,” kata Aiman sambil menghabiskan karipap yang telah sejuk itu.

KWSP

“Daniel, sebelum aku terlupa. Ahli i-SARAAN boleh membayar maksimum RM60,000 setahun. Untuk bayaran minimum pula tiada had. Jadi, bolehlah kau merancang berapa peruntukan i-SARAAN ini. Selain membuat bayaran secara dalam talian, kau juga boleh bayar terus di kaunter KWSP sama ada secara tunai atau cek dengan mengisi borang KWSP 6A(2)” tambah Aiman lagi.

KWSP

“Baiklah, terima kasih Fariz, Aiman kerana telah menerangkan kepadaku tentang i-SARAAN ini. Aku tidak sabar untuk mendaftar. Sampai di rumah nanti aku hendak memohon i-SARAAN ini. Adik aku pun bekerja sendiri. Nanti aku beritahu padanya,” kata Daniel.

“Bagus tindakan kau, Daniel. Sebarkan maklumat ini agar lebih ramai yang tahu. Aku yakin, ramai orang terlepas pandang tentang i-SARAAN ini,” kata Fariz yang sejak tadi turut memberi tumpuan pada penjelasan Aiman mengenai i-SARAAN.

Hujan sudah teduh. Jemaah semakin beransur pulang. Mereka bertiga pun bersiap-siap untuk pulang ke rumah masing-masing. Daniel tidak sabar untuk memberitahu keluarganya tentang i-SARAAN itu. Ayahnya juga masih layak memohon kerana i-SARAAN ini juga dibuka kepada kakitangan kerajaan yang bertaraf pencen.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

TREN TERKINI