Gangguan bekalan elektrik di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di Kota Kinabalu sejak Selasa, 19 April menyebabkan 28 pembedahan bukan kecemasan yang dijadualkan pada Rabu, 20 April ditunda ke tarikh lain, kata Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Rose Nani Mudin.
Dr Rose Nani berkata perkhidmatan dewan bedah di HQE terpaksa ditutup pada Rabu dan Khamis (21 April) bagi memastikan bekalan elektrik ke wad dan unit rawatan rapi sentiasa mencukupi serta stabil, manakala kes yang memerlukan pembedahan kecemasan pula akan dilakukan di HQE II.

“Pada masa ini syarikat konsesi masih berusaha untuk membaiki kabel elektrik yang rosak agar bekalan elektrik pulih seperti sediakala,” katanya menerusi satu kenyataan pada 20 April.
Dr Rose Nani berkata gangguan bekalan elektrik itu berlaku pada 11.54 pagi Selasa di HQE melibatkan melibatkan menara berkembar, klinik pakar dan blok bangunan lama perubatan HQE.

“Sepanjang gangguan bekalan, dua ‘set generator’ di HQE menampung bekalan elektrik bagi bangunan terlibat. Pihak hospital, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah serta syarikat konsesi telah melakukan tindakan segera mendapatkan generator tambahan sebagai sokongan,” katanya.
Beliau berkata bagi memastikan perkhidmatan perubatan HQE tidak terjejas, pelan kontigensi telah dilaksanakan dengan memindahkan sebahagian pesakit lebih memerlukan, dan kes memerlukan pembedahan kecemasan ke HQE II.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: