Pelakon terkenal Ukraine, Oksana Shvets, 67 tahun, dilaporkan terbunuh selepas tentera Rusia melancarkan serangan peluru berpandu ke arah sebuah bangunan kediaman di Kyiv. Ini tidak lama selepas aktor Pasha Lee dilaporkan terbunuh dalam pertempuran mempertahankan negaranya daripada pencerobohan Rusia.
Hantaran Facebook “The Young Theater” milik Oksana Shvets mengesahkan kematian bintang Ukraine itu yang menulis, “Artis Kehormat Ukraine Oksana Shvets terbunuh semasa serangan roket ke atas bangunan kediaman di Kyiv.”
Mereka memaklumkan, bedilan peluru berpandu tentera Rusia telah terkena pangsapuri aktres itu dan beliau terbunuh di tempat kejadian.

Hantaran itu turut diterjemah, “Dalam ingatan kasih sayang buat pelakon berbakat! Tiada kemaafan untuk musuh yang telah datang ke tanah air kita!”
Menurut The Hollywood Reporter, Oksana Shvets adalah bintang terkenal dengan nama berprestij di Ukraine. Beliau telah menerima anugerah penghormatan seni tertinggi Ukraine dan dinamakan Artis Kehormat Ukraine, yang setanding khazanah negara.
Dilahirkan pada 10 Februari 1955, Shvets berkelulusan studio teater dari Studio Teater Ivan Franko dan Institut Seni Teater Negeri Kyiv. Sebagai tambahan kepada kerjaya gemilang di “The Young Theater”, Shvets turut tampil bersama Teater Muzik dan Drama Ternopil dan Teater Satira Kyiv.

Kematian mengejut itu menerima ucapan takziah ribuan netizen dan peminatnya ekoran aktres tidak bersalah itu turut menjadi mangsa korban dalam peperangan dan konflik negaranya dengan Rusia.
Sebelum ini aktor dan hos terkenal Ukraine, Pasha Lee yang berusia 33 tahun dilaporkan terbunuh di Irpin ketika mempertahankan negaranya menentang pencerobohan tentera Rusia. Pasha Lee mendaftarkan diri dengan Pasukan Pertahanan Teritorial Angkatan Darat Ukraine sejak hari pertama Rusia membedil negara itu.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: