Ratu gimnas negara berusia 27 tahun Farah Ann Abdul Hadi mengumumkan persaraannya selepas digugurkan daripada senarai akhir skuad gimnastik artistik wanita dalam Sukan Asia Tenggara (SEA) akan datang.
Menurut Setiausaha Agung Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Afrita Ariany Nasril, Farah tersingkir daripada senarai akhir selepas beliau gagal menjelaskan masa depannya bersama skuad kebangsaan.
“Dari awal, kami ada mendengar Farah Ann akan bersara dan kemudiannya mahu meneruskan tetapi untuk MGF, kami tidak boleh menunggu sehingga beliau memberi jawapan (mengenai masa depannya). Farah Ann telah menyuarakan hasratnya untuk bersara pada 2019 jadi mulai saat itu kami telah sudah menyediakan dua rancangan untuk Sukan SEA, iaitu Pelan A dengan Farah Ann dan Pelan B tanpa beliau dan kini kami memilih untuk menggunakan Pelan B di Hanoi,” jelas Afrita Ariany kepada Bernama.
Menerusi laman Instagram Farah Ann pada 12 Mac, gimnas artistik itu mengumumkan persaraannya daripada sukan gimnastik selepas mengabdikan usaha keras selama 25 tahun dalam hidupnya untuk sukan itu.
“25 tahun yang lalu seorang gadis kecil melakukan lompatan kepercayaan dan menyertai dunia gimnastik yang mencabar. Terpikat untuk menjadi seorang gimnas, saya memulakan perjalanan ini sebagai atlet yang akhirnya menjadi minat terbesar yang sebati dengan diri saya,” tulisnya.
Menceritakan pengalamannya dalam sukan itu, Farah Ann menyifatkan ia adalah tahun-tahun yang menakjubkan.
“Kini selepas 25 tahun yang menakjubkan menceburi sukan ini, akhirnya saya bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal kepada seorang gimnas yang kompetitif,” tulisnya sambil mengucapkan terima kasih kepada sukan gimnastik atas kenangan dan pengalaman indah yang dilalui.
“Kepada semua yang saya temui sepanjang perjalanan, untuk semua bimbingan, kasih sayang dan sokongan, terima kasih. Ia adalah perjalanan sepanjang hidup, memberikan segala yang saya ada, semua cinta, semangat dan dedikasi saya.”
Farah Ann berkata walaupun telah bersara sebagai atlet, beliau berhasrat untuk meneruskan penglibatannya dalam dunia sukan dan gimnastik.
Farah melahirkan rasa gembira kerana bersara dengan kerelaan sendiri selepas mencapai impian dan matlamatnya yang menjadi kenyataan iaitu dapat bersaing di Sukan Olimpik. Farah adalah antara tiga gimnas Malaysia yang layak ke Sukan Olimpik.
“Gimnastik akan sentiasa menjadi minat saya, dan saya berharap dapat memberikan sesuatu kembali kepada sukan yang benar-benar memberi saya begitu banyak. Saya mungkin akan bersara sebagai atlet tetapi saya akan sentiasa terlibat dalam dunia sukan,” katanya dalam catatan di Instagram.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: