NEW YORK- Seorang kanak-kanak yang berusia 4 tahun ketika dilaporkan hilang pada 2019 lalu akhirnya telah ditemui pihak polis di New York pada 16 Februari lalu. Pihak berkuasa berkata mereka menemui Paislee Shultis di bawah tangga di sebuah rumah dengan keadaan diabaikan oleh ibu bapanya.
Shultis pertama kali dilaporkan hilang dari Cayuga Heights di New York tiga tahun lalu. Pada masa itu, pihak berkuasa percaya dia telah diculik oleh Kimberly Cooper dan Kirk Shultis Jr., ibu bapanya sendiri, kata Jabatan Polis Saugerties dalam satu kenyataan.
Pasangan tersebut dikatakan melakukan penculikan ke atas anak mereka itu kerana mereka kehilangan hak penjagaannya pada 2019. Mereka kemudian menyembunyikannya di dalam bilik rahsia di bawah tangga rumah datuk sebelah bapa ketika polis datang.
Polis berkata mereka memperoleh waran geledah sebuah rumah di Saugerties pada hari Isnin selepas mereka diberitahu bahawa seorang kanak-kanak ditahan “di lokasi tersembunyi” di kediaman itu. Pemiliknya, yang tidak dikenali, memberitahu polis dia tidak tahu di mana kanak-kanak itu berada, mengatakan dia tidak pernah melihatnya sejak dia hilang pada 2019.
Sejam selepas pencarian, seorang pegawai sedang melihat tangga di belakang rumah yang menghala ke ruang bawah tanah dan menyedari “binaan tangga adalah sesuatu yang pelik,” kata kenyataan itu.
Setelah diperiksa lebih lanjut, rupa-rupanya kelihatan sebuah selimut di antara tangga kayu. Pegawai tersebut kemudian mengeluarkan beberapa papan dan menemui kanak-kanak itu dan ibunya sedang menyorok di situ.
Paislee Shultis dibawa ke ibu pejabat polis dan diperiksa oleh paramedik dan dilaporkan dalam keadaan sihat. Dia kemudiannya dikembalikan kepada penjaganya yang sah dan disatukan semula dengan kakaknya.
Cooper, 33, didakwa dengan tuduhan campur tangan penjagaan tahap kedua dan membahayakan kebajikan kanak-kanak. Dia dihadapkan ke Saugerties dan kemudian dibawa ke Penjara Daerah Ulster, di mana Mahkamah Keluarga Daerah Ulster mempunyai waran tangkap aktif untuknya.
Kirk Shultis Jr., 32, dan Kirk Shultis Sr., 57, kedua-duanya didakwa melakukan jenayah campur tangan jagaan di peringkat pertama dan membahayakan kebajikan kanak-kanak, yang merupakan sebuah salah laku. Mereka telah dihadapkan ke mahkamah dan telah dibebaskan tetapi masih perlu ke mahkamah apabila dipanggil untuk membantu kes.
Arahan untuk menjauhkan diri telah dikeluarkan oleh mahkamah terhadap ketiga-tiga suspek, kata polis.
Mengetahui akan kes tersebut jiran-jiran terkejut kerana kanak-kanak yang selama ini dianggap hilang itu sebenarnya berada di dalam rumah datuknya.
“Saya hanya terkejut, kerana mereka kelihatan seperti orang biasa,” kata Annette Wrolsen kepada CBS New York.
Polis berkata mereka telah pergi ke rumah di mana kanak-kanak itu ditemui beberapa kali selepas dia dilaporkan hilang ketika mengikut petunjuk lain. Bagaimanapun, pihak berkuasa mengatakan bahawa penduduk memberitahu mereka bahawa mereka tidak tahu apa-apa tentang kehilangannya, dan kedua-dua, Shultis Jr. dan Shultis Sr. sebelum ini membenarkan mereka melakukan pencarian terhad di rumah itu.
Polis berkata siasatan terhadap kejadian itu sedang dijalankan. Menurut National Center for Missing and Exploited Children, kebanyakan kanak-kanak yang dilaporkan hilang di AS ditemui dengan selamat selepas tempoh yang agak singkat.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: