26 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024
UtamaBerita UtamaBimbang jatuh sungai ada bunya, murid di Sandakan akui takut lalui jambatan...

Bimbang jatuh sungai ada bunya, murid di Sandakan akui takut lalui jambatan uzur

Aspek keselamatan terutamanya buat para pelajar ke sekolah adalah satu isu yang masih lagi kurang dititik beratkan, khasnya buat yang tinggal di kawasan pedalaman.

Di Kampung Nelayan Tengah, Sandakan, murid sekolah rendah mengakui bahawa mereka berasa takut untuk melalui jambatan gantung ekoran keadaannya yang daif dan uzur.

Pun begitu, mereka terpaksa juga melaluinya setiap hari bagi membolehkan mereka ke Sekolah Kebangsaan Sibugal Besar yang terletak tidak jauh daripada kampung itu.

Murid Tahun 2, Nursyazana Rustaman berkata kebiasaannya dia ditemani ahli keluarga dewasa setiap kali menyeberangi sungai menggunakan jambatan terbabit.

Dia juga menceritakan bahawa dia pernah hampir terjatuh kerana cuba mengelak paku yang tercabut daripada kayu jambatan tersebut sebelum ini.

“Ia bergoyang dengan sangat kuat. Mujur sempat pegang besi di tepi jambatan. Kemudian abang yang temani saya bantu saya bangun dan teruskan perjalanan”, katanya.

Beberapa hari lepas, tular di media sosial menunjukkan pelajar di kampung tersebut menggunakan jambatan yang uzur untuk ke sekolah.

Manakala seorang murid Tahun 6, Biverlyn Abd Hadi mendedahkan bahawa dia pernah jatuh ketika waktu hujan disebabkan permukaan jambatan yang licin.

“Saya pernah jatuh ketika hujan. Tapi syukur tiada apa-apa yang serius”, ujarnya.

Seorang murid Tahun 5 pula, Ismail Abdullah berkata perkara paling seram adalah membayangkan jika mereka terjatuh di dalam sungai itu yang mempunyai buaya.

“Memang takut, lebih-lebih lagi jambatan ini sudah rosak, ada banyak lubang. Kalau nak menyeberang, kena ada kawan tiga atau empat orang”, katanya.

Laporan mendedahkan bahawa sudah banyak gesaan daripada pelbagai pihak yang mahukan jambatan berusia lebih 30 tahun itu digantikan dengan jambatan yang lebih kukuh.

Kata Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sungai Manila, Isgau Abdullah, jambatan sepanjang 150 meter itu telah usang dan dinaik taraf 20 tahun lepas, daripada bahan kayu sepenuhnya kepada struktur sokongan konkrit serta jaringan dawai dengan laluan berkayu.

“Peruntukan RM100,000 untuk membaik pulih jambatan ini telah dimohon dan diproses oleh Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) pada 28 November lepas”.

 “Tetapi dengan keadaan sekarang, jumlah itu sudah tidak memadai, mungkin perlu sekitar RM500,000 untuk membina jambatan baharu yang lebih kukuh”, katanya.

Difahamkan bahawa lebih kurang 90% penduduk Kampung Nelayan Tengah dan Kampung Pampang menggunakan jambatan itu sebagai laluan utama ke SK Sibugal Besar dan ke Masjid Nurul Hidayah.

Katanya jurutera Unit Penyelarasan Pelaksanaan dan jurutera MPS dijadual meninjau jambatan itu serta membuat penilaian semula berdasarkan peruntukan RM100,000 yang telah dimohon.

Dalam pada itu, penduduk Kampung Nelayan Tengah, Hajiril Hajid berharap agar pihak kerajaan mengambil tindakan segera kerana keadaan jambatan itu boleh mengundang bahaya meskipun tidak pernah berlaku apa-apa insiden tidak diingini.

“Antara perkara yang merisaukan ialah keadaan sungai ini yang mempunyai buaya. Kita tidak mahu ada insiden membabitkan haiwan ganas itu lebih-lebih lagi jambatan ini sering digunakan anak-anak untuk ke sekolah”.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

- Advertisment -

Pengasas Falun Gong: Mengapa Wujudnya Manusia

Falun Gong Founder Mr. Li Hongzhi Publishes ‘How Humankind Came To Be’ 法輪功創始人發表《為甚麼會有人類》 Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi...

Pengasas Falun Gong: Mengapa Pencipta Berusaha Menyelamatkan Segala Makhluk

Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi dan latihan lembut dengan falsafah moral yang berdasarkan prinsip Sejati, Baik,...
spot_img

TREN TERKINI