Bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri seluruh negara baru-baru ini adalah sesuatu yang di luar jangkaan. Ramai rakyat yang terkesan dengan bencana banjir yang difahamkan paling teruk dalam sejarah banjir di Malaysia.
Malah, hujan lebat yang turun selama dua hari berturut-turut juga dikatakan melebihi jumlah hujan dalam setahun sekali gus menjadi punca kepada banjir yang berlaku. Bukan sahaja manusia tetapi haiwan seperti kucing juga menjadi mangsa banjir sehingga mengorbankan nyawa.
Pilu hati apabila mendengar kisah-kisah tragis daripada mangsa banjir yang kehilangan rumah, kereta dan juga ahli keluarga akibat hanyut dalam arus air yang deras. Kebanyakan jalan raya juga terpaksa ditutup sehingga menyukarkan misi penyelamatan dan bantuan untuk sampai ke kawasan-kawasan yang mengalami banjir.
Hal ini menyebabkan ramai yang terpaksa bergelap selama beberapa malam, tersadai di atas bumbung rumah tanpa bekalan makanan dan minuman bersih sementara menunggu bantuan tiba. Antara kawasan yang terjejas teruk adalah di Taman Sri Muda.
Bagaimanapun, kita tahu rakyat Malaysia sememangnya bersatu-padu terutamanya dalam perkara seperti kesukarelawanan. Ramai yang sanggup datang dari setiap pelusuk negeri sambil membawa lori bantuan dan juga bot serta mengerah tulang empat kerat mereka demi membantu mangsa-mangsa banjir yang terperangkap.
Ada juga yang sanggup menyediakan makanan panas secara percuma, menghalalkan barangan yang dijual di syarikat diambil oleh mangsa banjir, memberikan sumbangan pakaian dan membantu membersihkan rumah mangsa setelah banjir surut.
Salah seorang wira tidak didendangkan adalah Azwan Omar atau lebih dikenali dengan jolokan nama, Abang Viva. Azwan yang cuma berbekalkan RM50 sanggup memandu dari Melaka sambil mengusung bot di atas kereta demi membantu mangsa banjir sekitar Shah Alam dan juga Puchong.
Sepasang suami isteri yang kehilangan pekerjaan mereka akibat pandemik Covid-19 iaitu Azura Manas dan Mohd Amli turut mengusung bot milik mereka dari Tanjung Tualang demi misi menyelamatkan mangsa banjir. Mereka yang kini bergantung sepenuhnya kepada hasil memancing juga sanggup datang menghulurkan bantuan setakat yang termampu.
Di samping itu, sekumpulan ‘rider’ yang terdiri daripada syarikat Foodpanda, Grab, Shopee Food dan Lalamove turut berganding bahu dengan berkonvoi ke Hulu Langat untuk menghantar bantuan makanan dan keperluan asas ke sebuah perkampungan orang Asli di situ.
Banyak kisah-kisah wira banjir lain yang sanggup turun padang demi meringankan beban golongan yang dalam kesusahan. Meskipun cuma rakyat biasa, tetapi semangat perpaduan yang tersemai dalam jiwa setiap individu sememangnya harus dijadikan satu teladan buat kita semua.
Bagi mereka yang mungkin tidak berkemampuan untuk membantu seperti wira-wira ini, sekadar mendoakan kesejahteraan mereka yang terlibat dalam banjir ini juga sudah mencukupi sebenarnya. Dengan harapan, doa-doa inilah yang akan dikabulkan dan menjadi penguat semangat mangsa banjir.