Pernah melihat cerita Cinderella? Antara perkara yang menarik di dalam cerita fantasi itu ialah bagaimana haiwan-haiwan di dalam cerita itu membantu Cinderella untuk mengemas rumah. Pasti ada yang pernah berangan dibantu seperti itu, jadi tidak perlu susah-susah menyelesaikan semua kerja rumah.
Illustration de rats dans la ville a cote de la Cathedrale Notre-Dame de Paris. Paris, FRANCE – 10/2017 (Sipa via AP Images)
Kisah itu seolah-olah menjadi realiti buat seorang lelaki, Steve McKears, 72, yang merupakan seorang pesara juruelektrik di UK. Menurut McKears ada sesuatu yang aneh berlaku di taman rumahnya, di mana dia menjalankan kerja-kerja berkebun. McKears dikatakan sering meninggalkan meja tempatnya bekerja dalam keadaan bersepah dan tidak kemas.
Namun, keesokan harinya dia melihat meja kerjanya menjadi kemas. Sejak hari itu, dia mendapati bahagian yang tidak kemas telah dibersihkan, semua alatan pula telah dimasukkan ke dalam baldi lama, dan kandungan baldi itu semakin dipenuhi dengan barang terkumpul, termasuk beberapa objek logam kecil, rantai dan barangan plastik.
Suatu hari dia sengaja mengeluarkan semua isi baldi dan menyepahkannya di sekeliling meja. Tanpa disangka, keesokan harinya apabila dia bangun, semua pekakas dan alatan sudah berada di tempat asalnya.
Keadaan tersebut membuatkan dia mula tertanya-tanya akan gerangan yang membantunya berkemas. Dia juga sempat berfikir bahawa semua itu hanya halusinasinya sahaja kerana dia sudah tua. Dia akhirnya memutuskan untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.
Dengan bantuan jirannya, Rodney Holbrook, CCTV akhirnya berjaya dipasang. Selepas menonton rakaman CCTV, McKears menghela nafas lega dan berkata bahawa dia sangat gembira kerana dia tidak berhalusinasi.
Dia mendapati bahawa ada tikus yang menyelinap masuk ke dalam pondok berkunci dan kemudian naik ke atas meja untuk menyusun alatan-alatan kecil di atas meja. Siapa sangka rupa-rupanya selama ini dia telah dibantu oleh tikus!