Barang yang hilang kebiasaannya sukar untuk ditemui semula, lebih-lebih lagi barangan berharga seperti dompet misalnya.
Namun bukan semua individu yang menjumpai barang berharga bertindak mengambilnya menjadi hak sendiri, samalah apa yang apa yang menimpa seorang lelaki bernama Traj TJ.
Difahamkan bahawa dompet Traj hilang selama 3 minggu dan pada 1 November, dia telah menerima kembali dompetnya itu.
Traj TJ/Facebook
Menurutnya bukan wang atau kad yang berada di dalam dompet itu yang merungsingkannya, namun nilai sentimental pada dompet itu pada Traj.
Dompet itu menurutnya adalah hadiah daripada tunangnya, manakala terdapat foto mendiang neneknya di dalam dompet tersebut.
Ujar Traj, dia mempunyai koleksi pelbagai wang kertas luar negara, kira-kira RM3,000 bernilai dolar Singapura dan beberapa helai wang RM50.
Berdasarkan foto yang dimuat naiknya, dompet itu turut tertera namanya dengan emas di bahagian dalam dan luar.
Traj TJ/Facebook
“Beberapa hari lalu, satu bungkusan telah dihantar ke rumah saya dan saya hanya sempat membukanya selepas 2 hari ia tiba”, tulisnya di Facebook.
“Mengejutkan apabila saya mendapati ia mengandungi dompet saya yang hilang sebelum ini. Setiap item di dalam dompet itu masih sama kedudukannya seperti sebelum ia hilang”.
Tambah Traj lagi, dia terharu apabila terdapat insan yang cukup baik hati sanggup membelanjakan wang bagi mengeposkan dompetnya itu. Malah wanita itu turut memastikan ianya sampai.
“Hello encik, saya jumpa encik punyai wallet di Petronas Batu Caves. Call saya jika wallet sudah sampai”, tulis nota pada wanita itu.
Traj TJ/Facebook
Traj kemudiannya meminta nombor telefon wanita itu dan bertanyakan lokasinya kerana dia berniat untuk membalas budi wanita berkenaan.
“Ya, saya segera bertanyakan lokasinya kerana mahu berterima kasih secara bersemuka dan memberinya hamper”, kata Traj.
“Saya berkawan dengan Salina menerusi ‘tragedi’ ini. Malah saya turut menjemputnya ke majlis kahwin saya nanti. Insan mulia sepertinya patut dihargai walaupun kita berlainan bangsa”.
“Saya gembira apabila Traj menghubungi saya dan berkata dompetnya itu selamat diterimanya”, kata Salina.