Penyelidikan mendapati bahawa tahap antibodi yang dihasilkan oleh dua suntikan vaksin Pfizer-BioNTech mengalami penurunan hingga 10 kali ganda selepas 7 bulan vaksinasi dos kedua.
Penurunan tahap antibodi berkenaan akan menjejaskan kemampuan tubuh untuk melindungi diri daripada COVID-19 jika individu tersebut dijangkiti.
Dalam kajian BioRxiv yang diterbitkan baru-baru ini, ramai penerima vaksin menunjukkan penurunan antibodi terhadap virus Parti Komunis China (PKC) atau SARS-CoV-2, berserta dengan variannya termasuk Delta, Beta dan Mu.
Bali Pulendran dari Universiti Stanford dan Mehul Suthar dari Emory University mengatakan kepada Reuters bahawa kajian itu menunjukkan vaksinasi vaksin Pfizer-BioNtech mendorong tahap peneutralan antibodi yang tinggi terhadap strain vaksin yang asli.
Namun tahap itu kemudiannya menurun hampir 10 kali ganda dalam tempoh 7 bulan.
Sementara tubuh memiliki mekanisme pertahanan lain untuk mencegah virus, Pulendran dan Suthar menambahkan bahawa antibodi adalah sangat penting dalam melindungi terhadap jangkitan SARS-CoV-2.
Kajian ini memfokuskan pada 46 peserta sihat yang telah menerima dua dos vaksin Pfizer-BioNTech. Darah peserta diuji sekali setelah mendapat vaksinasi kedua dan sekali lagi setelah enam bulan.
Para penyelidik juga mencadangkan agar pemberian vaksinasi penggalak ketiga dilaksanakan sebagai langkah untuk meningkatkan keberkesanan vaksin.
Laporan awal data pada fasa pertama menunjukkan bahawa peserta mempunyai tingkat peneutralan antibodi yang lebih tinggi terhadap varian Delta virus PKC setelah mendapat penggalak (dos ketiga), berbanding mereka yang baru menerima dua dos.
“Dos ketiga meningkatkan penuetralan antibodi dalam kajian makmal kami hingga tahap 100 kali lebih tinggi (setelah dos ketiga) dibandingkan dengan sebelumnya”, kata Mikael Dolsten selaku ketua pegawai saintifik Pfizer.
Vaksin Pfizer dua dos didapati 96% berkesan untuk dua bulan pertama setelah dos kedua, menurut kajian pada 28 Julai dari saintis syarikat berkenaan.
Kertas kajian itu turut menggariskan penurunan keberkesanan menjadi kepada 83.7% selepas 4 hingga 6 bulan. Ringkasnya, vaksin Pfizer-BioNTech adalah yang paling banyak digunakan di Amerika Syarikat.
Lebih daripada 226 juta dos telah diberikan pada 30 September lalu, berbanding 151 juta suntikan daripada Moderna dan 15 juta lagi daripada Johnson & Johnson.