BENTONG – Sebanyak 56 premis melibatkan 48 buah rumah dan 8 kedai musnah dijilat api dalam satu kejadian kebakaran besar yang berlaku di Kampung Baru Cina Karak pada malam 1 Oktober lalu.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Wan Mohammad Zaidi Wan Isa, pihak bomba telah menerima panggilan yang melaporkan mengenai kejadian tersebut sekitar jam 9.20 malam. Sejurus menerima laporan, seramai 52 anggota penyelamat bersama 10 jentera telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi operasi pemadaman dan menyelamat.
“Bomba berjaya mengawal kebakaran sekitar pukul 12.10 tengah malam dan kedudukan rumah yang begitu rapat dipercayai menyebabkan kebakaran cepat merebak”.
Pada masa sama, Ketua Polis Bentong, Superintendan Zaiham Mohhd. Kahar memaklumkan bahawa beliau bersama beberapa pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong turut hadir ke lokasi kejadian bagi memberikan pertolongan dari segi kawalan keselamatan dan trafik.
“Pihak saya juga membuat kawalan di kawasan sekitar dari semalam bagi membantu pihak bomba yang menjalankan siasatan mengenalpsti punca kebakaran agar tempat kejadian tidak diceroboh dan diganggu”.
Tiada laporan membabitkan kemalangan jiwa dilaporkan dan pihak berkenaan masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kebakaran serta jumlah kerugian. Buat sementara waktu, kesemua mangsa kini sedang ditempatkan di sekolah berdekatan pekan Karak.