Adakah anda ingat apa hajat hari jadi di waktu usia 9 tahun? Mesti anda berharapan ibu bapa membelikan permainan video, membelikan pakaian baru, dijamu makanan mahal dan snek kegemaran atau mendapat hadiah permainan terbaru. Sukanya anda sebagai seorang kanak-kanak.
Kisah yang amat berlainan di Sabah apabila seorang kanak-kanak perempuan menyambut hari jadinya yang ke-9 tahun dengan hajat mulianya untuk membantu golongan memerlukan dan kurang bernasib baik.
Mulia dan murni sungguh hati gadis kecil ini.

China Press melaporkan kanak-kanak perempuan bernama Olivia yang baru berusia 9 tahun dari Kota Kinabalu, menyambut hari jadinya yang ke-9 tahun dengan harapan dapat menyumbangkan wang hadiah hari jadinya bagi tujuan membantu golongan memerlukan dan kurang bernasib baik.
Setelah ibu Olivia mendapat tahu hajat anak perempuannya, dia mendapatkan nasihat rakan-rakan lalu menghubungi ahli parlimen Kota Kinabalu untuk mendermakan wang itu bagi pihak Olivia.
Sumbangan wang itu digantikan oleh 240 bungkusan beras 5kg, yang telah diedarkan kepada keluarga memerlukan dan terjejas serta menghadapi masalah kewangan akibat pandemik COVID-19.

Olivia berkata hajatnya yang mulia untuk membantu orang lain bukan bertujuan untuk mendapat nama atau menunjuk-nunjuk, tetapi atas dasar keikhlasan dari hatinya kerana berasa simpati setelah mendengar sendiri daripada ibunya yang ketika ini terdapat ramai orang yang kehilangan pekerjaan, dan hidup dalam kesukaran sehingga ada yang tidak dapat makan.
Jadi Olivia ingin membantu mereka dengan kemampuan yang ada dan menyumbang sebaik mungkin.
“Saya tidak mahu lihat semua orang kelaparan, saya berharap semua orang mempunyai makanan di rumah,” kata Olivia yang gembira dapat menyumbangkan bungkusan beras itu.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin telah mengunjungi rumah keluarga Olivia dan menyampaikan sijil penghargaan kepada kanak-kanak prihatin ini.
Olivia masih muda, tetapi sikapnya wajar dicontohi semua kerana mengambil inisiatif untuk membantu golongan kurang bernasib baik dan memerlukan. Niat mulia yang betul-betul menyentuh hati.