KOTA KINABALU – Kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dikenali sebagai Muhammad Aming Salleh Abdullah dilaporkan telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumah sekitar jam 1.30 pagi Khamis (26 Ogos 2021).
Menurut laporan, adik Aming pernah menjadi tular di media sosial gara-gara memuat naik video lucu sambil memberikan pesanan kepada orang ramai agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memakai topeng pelitup muka dengan betul.
Aming dikatakan mengalami kesesakan nafas sebelum disahkan meninggal dunia di rumahnya di Tawau, Sabah. Jenazah arwah telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Titingan, Tawau. Ibu Aming, Santi Sabri, 33 tahun memaklumkan bahawa anaknya secara tiba-tiba mengadu sesak nafas sebelum menghembuskan nafas yang terakhir. Aming juga dikatakan aktif dan sihat serta tidak dijangkiti wabak COVID-19.
“Tiada apa-apa cuma dia makan mi segera sahaja kemudian sesak nafas. Saya sangka dia biasa-biasa sahaja sebab anak saya tidak sakit. Sempat lagi dia angkat barang-barang saya, azan dan solat,” jelas Santi.
Tambah Santi lagi, Aming yang merupakan anak bongsu itu sempat meninggalkan pesan terakhir dan meminta agar ibunya menutup aurat dengan sempurna.
“Sebelum meninggal dunia, sempat lagi dia berpesan kepada saya, tutup rapat-rapat aurat supaya bapa tidak menanggung dosa. Saya tidak sangka anak saya pergi begitu sahaja. Sebelum dia meninggal, saya dan suami ada di sisinya”.