ZHENGZHOU – Seramai lima lelaki dan seorang wanita dilaporkan terkorban dalam nahas banjir di Terowong Jingguang pada 26 Julai lalu di samping banyak kenderaan yang terperangkap dalam terowong sepanjang 2km itu.
Bagaimanapun, orang ramai bukan sahaja rakyat China tetapi seluruh dunia meragui jumlah kematian yang dilaporkan oleh media China itu. Hal ini berikutan penularan video memaparkan ratusan kenderaan yang terperangkap di dalam terowong itu telah berjaya dikeluarkan namun tiada seorang pun mayat manusia yang ditemui.

Pelbagai andaian telah dibuat dan ada yang berpendapat jumlah sebenar kematian adalah jauh lebih tinggi berbanding apa yang dilaporkan di media. Video berdurasi 2 minit 7 saat yang tular di laman Twitter itu memaparkan ratusan buah kenderaan yang diselaputi dengan lumpur telah diparkirkan di sebuah kawasan yang luas.

“Kesemua kenderaan yang dibawa keluar pasti tidak mempunyai tuan kerana tiada siapa yang datang membuat tuntutan. Ini bukan lagi satu perkara yang main-main memandangkan pemilik kereta tidak berjaya ditemui”.
“Satu keluarga terbunuh dalam kemalangan ini. Pasti ada rahsia yang perlu disimpan. Segala fakta dan kebenaran akan terus menjadi perkara misteri”.

“Kita tahu mereka (Parti Komunis China) bohong. Mereka juga tahu mereka berbohong. Mereka tahu bahawa kita tahu mereka bohong. Tetapi mereka tetap berbohong”.
Lebih mencurigakan lagi, orang awam tidak dibenarkan untuk menghampiri kawasan berkenaan dan ianya turut dikawal ketat oleh pihak tentera China. Malah, kerajaan turut melarang penggunaan kamera kawalan udara di kawasan tersebut sekali gus membuatkan semakin ramai yang mengesyaki ada perkara yang sedang disembunyikan.