Perenang Hannah Margaret MacNair MacNeil beraksi cemerlang dengan penampilan Sukan Olimpik pertama berdiri megah di atas podium sebanyak dua kali dengan merangkul satu emas dan satu perak untuk negara tercintanya, Kanada.
Margaret MacNeil atau nama panggilannya, Maggie beraksi cemerlang memecahkan rekod kebangsaan dan Amerika dalam acara final renang 100 meter kuak kupu-kupu wanita Olimpik Tokyo 2020 pada 26 Julai lalu dan merangkul tempat pertama sekali gus memenangi pingat emas pertama buat Kanada.
Margaret MacNeil, yang berada di kedudukan ketiga pada kelayakan separuh akhir dan keenam ketika acara akhir dengan catatan masa peribadi terbaik 56.56 saat, berenang di barisan ke-7. Ketika hampir ke garisan penamat dalam jangkauan 50 meter, MacNeil menggunakan seluruh kekuatan memecut laju dengan catatan akhir 55.59 saat, menewaskan pencabar hebat dari China, Zhang Yufei dengan kelebihan 0.05 saat untuk memenangi pingat emas Olimpik Tokyo 2020 untuk Kanada.
Margaret MacNeil merupakan perenang Kanada ketujuh yang memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik.
Catatan masa terbaik MacNeil dalam acara 100 meter kuak kupu-kupu adalah 55.56 saat ketika pusingan separuh akhir di mana beliau memecahkan rekod kebangsaan Kanada dan Amerika, mencatat prestasi peribadi terbaiknya setakat ini.
Apa yang menarik pada hari bersejarah itu, MacNeil menyentuh garisan penamat terlebih dahulu dan terus melihat papan pemasa elektronik dengan kejutan tidak percaya bahawa beliau telah memenangi emas pertama buat negaranya. Sambil dipeluk oleh rakan perenang dari Sweden, Sarah Fredrika Sjöström yang memberi ucapan tahniah.
Beberapa media kemudian mendapati MacNeil tidak memberi respons yang tepat pada waktunya ketika diumumkan kemenangannya ekoran penglihatannya yang agak lemah. Rupanya MacNeil bercermin mata ketika berada di atas podium dan merangkul pingat emas Olimpik pertamanya.
Sebelumnya, pada petang 25 Julai, Margaret MacNeil turut menyumbang pingat perak untuk negaranya bersama tiga rakan perenang Kanada lain, Penny Oleksiak, Kayla Sanchez dan Rebecca Smith dalam acara 4 x100 meter gaya bebas wanita, yang merupakan pingat pertama yang dimenangi oleh pasukan Kanada di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Diambil sebagai anak angkat oleh pasangan dari Kanada pada usia 1 tahun.
Margaret MacNeil berasal dari London, Ontario. Majlis Olimpik Kanada memaklumkan yang Margaret dilahirkan pada 26 Februari 2000 di Jiujiang, Wilayah Jiangxi di China. Menurut Canadian Radio International (RCI), Margaret diadopsi oleh pasangan suami isteri dari London, Ontario, Kanada ketika beliau berusia setahun. Adik perempuannya juga diadopsi dari China.
Pasangan MacNeil tidak pernah membezakan Margaret dan adiknya sebagai anak orang lain kerana mereka membesarkan mereka berdua sejak kecil sebagai anak kandung sendiri dengan penuh kasih sayang. Margaret mula belajar berenang ketika berusia 2 tahun secara suka-suka. Bermula usia 8 tahun, Margaret MacNeil mula mengasah bakat menyertai kejohanan renang buat pertama kalinya.
Bermulanya impian gadis kecil ini untuk mewakili Kanada dalam Sukan Olimpik sejak tahun 2008.
Selain berbakat dan cemerlang dalam sukan renang, Margaret MacNeil bermain biola sejak usia 5 tahun dan klarinet ketika berusia 12 tahun, juga bermain bola tampar. Pada masa sama, Margaret meminati bidang undang-undang dan perubatan yang menjadi profesion ibunya.
Kerjaya renang bermula dengan cabaran.
Margaret MacNeil mula menyertai kejohanan renang peringkat kebangsaan ketika berusia 12 tahun, tetapi menghadapi rintangan besar dalam kerjaya itu sejak lima tahun yang lalu.
“Dalam Kejohanan Renang Dunia Singapura 2017, keadaan cuaca yang panas dan lembap telah menyukarkan penafasan saya. Saya juga tidak boleh terdedah kepada klorin yang menyebabkan masalah asma akan menjadi lebih buruk, sehingga perlu mendapatkan bantuan pernafasan di jabatan respiratori,” katanya.
Pada tahun itu, MacNeil gagal membantu pasukan renang kebangsaan Kanada dalam kelayakan di Kejohanan Renang Dunia Junior.
Untuk mengelakkan serangan asma itu berulang, MacNeill mengubah acara 200 meter kepada 100 meter. Keadaan yang menyebabkan rakan sepasukan tidak begitu optimis dan memandang rendah akan kemampuannya, tetapi ketua jurulatih pasukan renangnya di Universiti Michigan, Mike Bottom amat mempercayai ketekunan dan disiplin MacNeil, yang mana akhirnya membuahkan kejayaan.
Kemajuan Margaret MacNeil jauh melangkaui harapan semua orang. Setelah beraksi dalam Kejohanan Universiti Kebangsaan (NCAA), MacNeil terpilih mewakili pasukan renang kebangsaan Kanada pada tahun 2019 dan beraksi julung kali di Kejuaraan Renang Dunia. Pertama kali meraih pingat gangsa dengan membantu rakan sepasukan dalam acara 4×100 meter gaya bebas wanita. Kemudian, dalam acara 100 meter kuak kupu-kupu wanita, dengan catatan masa 55.83 saat. Margaret MacNeil menewaskan juara dunia empat kali dan juara Olimpik Sarah Fredrika Sjöström dan menjadi terkenal dalam penampilan sulungnya.
Sentiasa bersyukur dengan didikan ibu bapanya.
Selama bertahun-tahun, bapa Margaret, Edward MacNeil bangun awal pagi untuk menghantar anak perempuan kesayangannya menjalani latihan, dan ibunya, Susan McNair menguruskan segala-galanya demi memberi sokongan padu kepada anak sendiri.
Maggie MacNeil tidak pernah melupakan jasa pengorbanan dan sokongan ibu bapanya serta ahli keluarga lain ketika temubual dengan CBC, “Ibu bapa saya tidak pernah gagal melakukan tugas terbaik demi karier saya. Mereka selalu datang memberi sokongan dalam kejohanan yang saya sertai sekerap dan semampu mungkin.”
Ketika Maggie menjadi juara dalam Kejohanan Renang Dunia di Korea, kamera merakamkan Maggie dan ibu bapanya saling berpelukan dengan bendera Kanada di khalayak ramai, dan bapa saudaranya di Kanada menyaksikan adegan itu tanpa jemu sebanyak 25 kali.
“Tidak kira berapa besar atau kecil pun Maggie beraksi, pada setiap kali dia menang, air mata akan berlinang,” kata mereka dengan bangga.
Selama bertahun-tahun, Edward menemani Maggie menjalani latihan. Mereka bangun pada jam 5 pagi setiap hari dan akan minum kopi di Tim Horton, sambil menunggu kolam renang di hadapan stadium City of London dibuka.
Susan McNair berkata, “Suami saya mempercayai latihan awal akan memberi kesan yang lebih baik, dan saya akan berusaha sebaik mungkin untuk merancang jadual kami serta memastikan anak-anak dengan pemakanan dan jagaan yang baik.”
Margaret MacNeil mengucapkan terima kasih kepada ibu bapanya sejurus kemenangan, dan ibu bapanya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat yang telah memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada anak mereka dan menjaganya dengan baik.
Sementara itu, Margaret MacNeil berkata kepada Reuters ketika ditanya, “Saya dilahirkan di China dan diadopsi ketika masih kecil, jadi itu sahaja pengetahuan mengenai asal usul saya yang diketahui. Ia hanya sebahagian kecil dalam perjalanan hidup saya berbanding di mana saya berada pada hari ini. Ia seperti tidak relevan apabila kita membincangkannya dengan sukan renang.”
Sambil Margaret MacNeil menekankan yang beliau adalah warga Kanada dan sentiasa dibesarkan dan dididik sebagai orang Kanada, ketika warganet seluruh dunia terutama dari China sibuk membicarakan tentang asal usulnya.