Sebuah teksi Proton Exora rosak teruk dan pemandunya, seorang lelaki mengalami kecederaan luka melecur ringan di lengan dan muka selepas gas cecair pembasmi kuman yang bocor dilaporkan meletup di dalam kenderaan terbabit.
Kejadian berlaku pada 24 Julai lalu di Jalan CTA 4 berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.
Pemandu teksi, Radzi Mokhtar yang berusia 64 tahun meninggalkan KLIA setelah menurunkan penumpang, dan ketika dalam perjalanan pulang mangsa memutuskan untuk menyalakan sebatang rokok dengan pemetik apinya apabila secara tidak sengaja turut menyambar gas cecair pembasmi kuman dalam kanister yang bocor.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian terbabit pada jam 3.30 petang, berkenaan sebuah teksi jenis Proton Exora telah meletup semasa sedang bergerak.
“Siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapati letupan berpunca daripada gas cecair pembasmi kuman yang bocor dan ketika pemandu teksi sedang menggunakan pemetik api untuk menyalakan sebatang rokok di dalam kenderaan,” katanya.
Mangsa kemudian telah dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.
Insiden ini bukan perkara baru yang pernah dilaporkan. Tular di media sosial dengan pertanyaan dan amaran para warganet mengenai tahap keselamatan menyimpan penyembur berkanister di dalam kenderaan.
Baru-baru ini BBC melaporkan sebuah lori treler di London yang membawa muatan aerosol telah disambar api, menyebabkan letupan besar dan kerosakan teruk selepas berlaku kebakaran.

Menurut saksi kepada Evening Standard, dia sedang memandu di belakang lori itu ketika ia tiba-tiba ‘terbakar’ dan ‘meletup’ seperti aksi dramatik.

Kejadian lain di mana tin aerosol atau penyembur berkanister tidak tahan tekanan meletup dan menyebabkan kebakaran akibat cuaca panas selepas ia ditinggalkan di dalam kenderaan, pernah dilaporkan.
Deodoran berkanister juga mampu membahayakan seperti bom jangka, apabila anda meletakkannya di dalam kenderaan. Ia boleh meletup jika terdedah kepada suhu yang terlalu panas dan tekanan gas dalam bekas simpanan yang meningkat.

Seorang ibu pernah memberi amaran pada tahun 2019 melalui laman Facebook miliknya mengenai bahaya menyimpan syampu kering di dalam kereta.
Bekas syampu kering telah berubah menjadi peluru dan meletup ke arah bumbung kereta sehingga merosakkan kereta Honda Civic milik anak perempuannya ketika ia terdedah di tengah cuaca panas terik.

Dinasihatkan, sebaiknya jangan simpan apa-apa bentuk penyembur dalam kanister atau tin di dalam kenderaan anda.
Selain kerosakan teruk kepada kenderaan, ia juga boleh membahayakan nyawa anda dan penumpang lain sekiranya sedang memandu.