TOKYO – Acara pembukaan temasya sukan Olimpik Tokyo 2020 menyaksikan persembahan perbarisan oleh para atlet yang mewakili negara masing-masing. Malaysia merupakan antara negara yang menjadi tumpuan ramai apabila para atletnya menggayakan busana tradisional yang berinspirasikan dari pemakaian Laksamana Hang Tuah.
Atlet lelaki kelihatan lengkap bertanjak, berbaju sikap dan sampin manakala atlet wanita pula manis bergaya dengan persalinan selendang yang bertemakan warna Jalur Gemilang iaitu merah, putih, biru dan juga kuning. Busana ini telah direka khas oleh Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Corak geometrik dikatakan berasaskan segi tiga atau chevron yang merujuk kepada arah tuju yang jelas dalam mencapai matlamat pingat terbaik buat negara tercinta.
Seramai 13 individu terlibat di dalam perbarisan mewakili Kontinjen Malaysia. Antaranya adalah Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib, jaguh badminton iaitu Lee Zii Jia dan Goh Liu Ying yang bertugas membawa bendera Malaysia, ratu terjun Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee, Phee Jinq En, Welson Sim serta ratu gimnastik, Farah Ann.
Upacara ini disambut dengan penuh gilang-gemilang sekali gus menutup potensi pembatalan temasya sukan paling berprestij itu selepas ditangguh selama setahun akibat pandemik. Upacara perbarisan ini dimulakan dengan negara Greece dan Malaysia menjadi negara ke-177 yang memasuki stadium diakhiri dengan negara tuan rumah iaitu Jepun.
Majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Maharaja Jepun, Naruhito, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Wanita Pertama Amerika Syarikat, Jill Biden.