Ramai yang tanya apa yang mahu dilakukan jika wabak COVID-19 berakhir. Ada yang mahu pulang ke kampung melawat ibu bapa, ada yang mahu melancong dan ramai yang mahu makan di luar seperti biasa.
Nampaknya bukan hanya kita yang rindu untuk makan atau ‘melepak’ di kedai-kedai makan dan berkumpul bersama-sama kawan malah anak kecil ini juga rindukan suasana yang sama. Jadi, untuk mengubat rindu anak kecil ini keluarganya telah mendirikan sebuah kedai makan olok-olok di luar rumah untuknya.
Momen comel tersebut dikongsikan oleh seorang pengguna Twitter, @syedalbukhary_ yang menceritakan tentang kejutan yang dibuat untuk anak saudaranya itu.
Menurut pemuda itu, anak saudaranya yang bernama Ibrahim itu memberitahu bahawa dia sudah lama tidak makan di luar sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jadi, mereka sekeluarga memutuskan untuk membuka kedai makan mini yang diberi nama ‘Kedai Mak Tok’. Tidak hanya itu, mereka juga menggunakan wang jutaria untuk digunakan dalam urusan ‘jual beli’ di kedai makan tersebut.
Apa yang paling menyeronokkan, mereka menyediakan pelbagai makanan yang enak buat Ibrahim seperti pasta, buah-buahan, coklat dan minuman.
Menurut Syed lagi, anak saudarannya itu sangat gembira dengan kedai makanan tersebut.
Nampaknya Ibrahim rindu benar dengan suasana di luar. Bukan hanya kita yang tertekan kerana terpaksa berkurung di rumah, kanak-kanak juga merasakan perasaan yang sama.