Ketika era pandemik yang menyebabkan ramai terkesan dengan keadaan ekonomi meleset, kita memahami semua orang mengalami kesukaran dalam mencari rezeki demi mencukupkan keperluan hidup masing-masing dan tanggungan mereka.
Bersyukur bagi golongan yang masih memiliki pekerjaan tetap walaupun turut melalui masa sukar, namun terdapat golongan di luar sana yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dan mereka perlu melakukan apa sahaja pekerjaan demi mencari sesuap nasi.
Seorang gadis @itissyahira berkongsi di TikTok bagaimana beliau berkongsi rezekinya dengan menghulurkan sedikit bekalan makanan kepada seorang pak cik yang datang ke rumahnya untuk mencuci kereta.

Menurutnya, pak cik itu telah datang meminta bantuan untuk mencuci kereta keluarga gadis ini dan menerima upah untuk pekerjaannya.
Gadis ini dan keluarganya amat bersimpati serta menghargai usaha pak cik itu yang tidak malu untuk mendapatkan bantuan demi pencarian rezeki hariannya yang halal dan berkat.
Namun apa yang menarik perhatian ialah keluarga gadis ini turut tidak lokek untuk membekalkan makanan untuk pak cik itu yang dimaklumkan belum makan selepas ditanya.

Selepas kerja mencuci kereta itu selesai, bekalan makanan tersebut telah diberikan kepadanya.

Sudah pasti terpancar kegembiraan di wajah pak cik ini kerana mendapat upah dan juadah percuma untuk menggalas perutnya yang lapar pada hari itu.
Tindakan baik hati gadis ini yang sudah semestinya mendapat perhatian kerana beliau berkongsi rezekinya bersama orang lain yang memerlukan, dan sudah tentu menerima pujian.

Walaupun perkara seperti ini sudah biasa kita lihat di tempat lain, ketika mak cik, nenek, kakak dan pak cik serta datuk memberi upah lebih dan membekalkan makanan yang mereka baru masak kepada abang pekerja kampung, tindakan anak muda seperti ini di bandar patut menerima pujian.
Syabas dan teruskan untuk berkongsi rezeki anda dengan orang lain. Sesungguhnya hati kita akan berasa amat tenang selepas dapat berbuat demikian dan mendoakan keberkatan satu sama lain.