MASSACHUSETTS – Seorang nelayan udang kara dilaporkan hampir ditelan oleh seekor ikan paus spesies ‘humpback’ ketika sedang menyelam untuk mencari udang kara di pesisir timur laut Massachusetts.
Menurut nelayan yang dikenali sebagai Michael Packard menerusi satu perkongsian di Facebook, dia telah melihat seperti satu lubang besar berwarna hitam ketika sedang menyelam di perairan tersebut.
Sebaik sahaja menyedari ‘lubang hitam’ berkenaan adalah mulut ikan paus, dia segera menyelamatkan diri daripada ditelan.
“Ketika itu, saya berada pada kedalaman 10 meter di bawah permukaan laut dan pada mulanya menganggap diserang jerung. Namun melihat kepada mulut haiwan itu, saya sedar ia bukan jerung kerana bilangan gigi yang tidak sama”.
Jelas Michael lagi, Dia berada di dalam mulut selama sekurang-kurangnya 30 saat, tertanya-tanya sama ada dia akan kehabisan udara atau ditelan. Dia bergelut dengan mulut ikan paus dan merasakan otot mulut ikan paus tersebut menghimpitnya dengan kuat. Kemudian, dia terlihat cahaya dan merasakan kepala ikan paus bagai mengoncang dan tubuhnya dilemparkan ke dalam air.
Pada masa yang sama, rakan Michael iaitu Josiah Mayo yang berada di atas bot memaklumkan melihat kejadian rakannya ditolak keluar selepas ikan paus berkenaan menghasilkan ‘letupan air’.
“Sepanjang tempoh itu, saya hanya memikirkan isteri dan anak-anak serta beranggapan tiba masanya saya mati. Tiba-tiba paus itu memuntahkan saya ke udara lalu saya jatuh ke dalam laut dan terapung. Tak sangka insiden ini benar-benar berlaku”.
Josiah segera menarik Michael ke atas bot sementara menunggu ketibaan pasukan penyelamat untuk datang dan membawa Michael mendapatkan rawatan di hospital.
Hasl pemeriksaan mendapati Michael tidak mengalami sebarang kecederaan serius kecuali kerosakan tisu lembut di bahagian kaki.