PETALING JAYA – Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan memberikan ganjaran bernilai RM20 kepada mana-mana individu di kawasan berkenaan yang mengambil suntikan vaksin COVID-19.
Menerusi poster yang dipaparkan di laman Facebook milik beliau, penerima vaksin dikehendaki untuk membawa bersama kad pengenalan serta bukti yang mengesahkan penerimaan suntikan ke pejabat pusat khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu bagi menuntut hadiah saguhati berkenaan.
“Semua penduduk di Parlimen Kota Bharu yang melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 akan menerima RM20”.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) melaksanakan insentif tunai tersebut dengan harapan dapat memupuk serta menggalakkan para penduduk untuk mengambil suntikan vaksin.
Jelas Ketua Pemuda PAS Kota Bharu, Muhammad Abdul Malik Abdul Karim, “Ia adalah inisiatif Takiyuddin kepada rakyat Kota Bharu untuk mengambil vaksin”.
Terdahulu, seramai hampir 10,000 penduduk di Kelantan yang sebahagiannya berusia 60 tahun ke atas dilaporkan gagal menghadirkan diri untuk mendapatkan suntikan vaksin seperti yang telah ditetapkan dalam aplikasi MySejahtera.